CALON ketua Wanita PKR Fuziah Salleh sewajarnya fokus kepada tanggungjawabnya sebagai timbalan menteri daripada membuang masa untuk berdebat dengan penentangnya dalam pemilihan parti, Haniza Talha.
Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin berkata tindakan timbalan menteri hal ehwal agama itu mencerminkan Kabinet Pakatan Harapan (PH) masih ada mentaliti pembangkang yang tidak berubah sepertimana yang diakui oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dua hari lalu.
“Inilah yang disebut oleh Dr Mahathir, mentaliti yang masih belum berubah, mentaliti yang masih lagi nak membangkang.
“Kita kerajaan, jadi kita mesti memimpin dan tunjukkan bagaimana kerajaan sepatutnya bertindak,” katanya pada sidang media selepas perasmian Girl2Leader Malaysia di Hotel Corus, Kuala Lumpur hari ini.
Semalam, The Malaysian Insight melaporkan Fuziah bersedia berdebat dengan lawannya, Haniza pada bila-bila masa sekiranya terdapat pihak yang ingin menganjurkannya.
Beliau berkata demikian selepas calon timbalan presiden Rafizi Ramli tampil mencabar pesaingnya berdebat menjelang pemilihan PKR, yang pengundiannya bermula pertengahan bulan depan.
“Jadi nak mencabar-cabar, nak membahas-bahas untuk menunjukkan kepetahan, itu semua dah berlalu sebenarnya.
“Jadi kita (sekarang) masa untuk bekerja.. apatah lagi beliau (Fuziah) timbalan menteri. Jangan buang masa (dengan) benda-benda macam ni.
“Buat kerja, turun padang. Perbaiki kehidupan rakyat,” kata menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu.
Dua hari lalu, Dr Mahathir pada hari ke-100 pemerintahan PH mengakui barisan Kabinetnya masih memiliki sifat pembangkang dan mengambil masa untuk menyesuaikan diri sebagai pemerintah.
Perdana menteri berusia 93 tahun itu berkata, perkara tersebut berlaku berikutan peralihan kerajaan selepas 61 tahun pembangkang tidak dapat mendirikan kerajaan. – 19 Ogos, 2018.
Komen