Saya okay dengan mak nyah


Zainal Rashid Ahmad

SAYA mula bekerja dalam industri drama dan filem sekitar 1987. Sejak itu, saya menerima keberadaan mak nyah sebagai sebahagian daripada kru penerbitan. Berinteraksi dengan mereka adalah perkara normal. Golongan ini mengisi lebih 90 peratus peranan dalam industri ini bagi kerja-kerja persolekan dan kostum produksi.

Tiga puluh tahun kemudian, saya mengunjungi rakan baik yang menerbitkan filem dan menjalankan penggambaran di Bangkok. Suasana masih sama – jurusolek dan pereka kostum masih mak nyah.

Selama tiga dekad antara waktu itu, saya masih terus bekerja dengan golongan ini. Ketika menyertai industri televisyen dan sempat bekerja di tiga stesen TV utama di Malaysia, jurusolek dan pereka kostum tetap mak nyah.

Justeru, hingga sekarang saya tidak rasa janggal berada dan bergaul mesra di sekitar mereka. Malah, ada antara mereka menjadi kenalan keluarga; mengenali isteri dan anak-anak saya. Tiada prasangka dan kami tidak pernah bercakap dengan menggambarkan mereka sebagai subjek yang aneh.

Jasa baik

Isteri saya pernah diserang sawan yang teruk, dan seorang jurusolek mendukung isteri saya menuruni tangga empat tingkat hingga ke pintu ambulans. Dia yang pertama tiba di rumah ketika mengetahui isteri saya sakit. Ketika itu saya berada di luar pejabat kerana bertugas menjalankan rakaman program.

Isteri saya mengenang jasanya hingga sekarang. Malah, sentiasa berbangga menceritakan betapa mak nyah itu sangat baik tanpa prasangka gender. Isteri saya sentiasa membahasakannya sebagai kawan rapat.

Ketika jurusolek mak nyah itu menyatakan khabar dia akan ke Mekah beberapa tahun lalu, isteri saya orang yang paling gembira sekali pun berjenaka dengan mak nyah itu.

“Baby pakai telekung atau ihram?”

Mereka ketawa kuat di telefon. Isteri saya meraikan seorang kawan mak nyah yang beberapa tahun lalu mengendongnya ketika kritikal. Isteri saya bangga kerana kawan baiknya bakal bergelar haji. Pada waktu tertentu, isteri saya nampak sangat sayu, kerana membayangkan rakannya itu akan memakai ihram dan bertawaf di Mekah.

Kami sekeluarga memang menerimanya sebagai kawan keluarga dan memanggilnya dengan nama manja popularnya – Baby.

Pinjam duit

Ketika menjadi kru filem sebagai propman, gaji kecil pada dekad 80-an menyebabkan saya selalu putus wang. Namun, hidup susah sentiasa dibantu rakan-rakan. Terkadang kurang wang untuk makan atau bayar sewa rumah.

Selalunya, jurusolek yang jadi tempat meminjam. Gaji mereka dua atau tiga kali ganda lebih besar berbanding gaji kru bawahan.

“Bayar sewa tau,” pesannya. “Nanti kau kena halau dan hidup tepi jalan!”

Ini komunikasi biasa. Malah, sudah lumrah. Saya pula waktu itu akan selalu berada dalam keadaan sukar untuk menjelaskan hutang. Ada masa kalau mahu membayar semula, rakan-rakan mak nyah ini akan menjawab dengan mesra dan sinikal.

“Simpan buat makan. Gaji kau bukan berapa sen pun.”

Kami akan ketawa kuat.

Ketika saya menjadi wartawan di akhbar sohor tanah air, saya bekerja dengan rakan-rakan kaum lembut ini. Kami duduk bersebelahan meja kerja. Bergurau senda dan akan pergi solat Jumaat bersama-sama. Naik kereta beramai-ramai. Kami menerima mereka sebagai rakan tanpa prejudis.

Kalau telefon berbunyi dan ada pemanggil mencari wartawan mak nyah ini, saya akan menjawab: “Dia solat… telefon balik 30 minit lagi.”

Itu jawapan biasa, tetapi kenapa 30 minit? Jawapannya mudah. Selalunya selepas solat, rakan-rakan lembut ini akan bersolek semula. Jadi, kami akan mencadangkan notis telefon semula ialah 30 minit dan bukan 15 minit.

Sensitif

Apabila mak nyah ini dicela dan dihina, saya sentiasa sensitif. Bukan kerana saya nak jadi hero geng lembut, tetapi sejak remaja sampai sekarang, saya mempunyai pandangan yang baik terhadap mereka.

Saya tidak pernah terfikir untuk memiliki perasaan benci kerana pengalaman mengajar saya, bahawa mereka manusia biasa.

Saya melihat mereka bersolek, tetapi saya juga melihat mereka bersolat.

Walaupun beberapa tahun dulu namanya Baby, beberapa tahun kemudian saya meraikan dia dengan mengirimkan salam dan doa apabila dia lebih dulu mengerjakan haji.

Jadi, saya fikir kebencian harus bermula di mana? Atas sebab apa? Oh… kerana masyarakat menyebut mereka pondan, mak nyah atau trangender? Maka, saya harus ikut serta membenci mereka?

Tidak! Saya fikir, itu bukan sebab munasabah untuk merosakkan hati saya dengan kebencian berasaskan kecelaruan pandangan. Saya fikir, mak nyah adalah manusia dan mereka sangat budiman dan berperi kemanusiaan.

Kesal

Kalau pun saya ada rasa kesal, saya kesal kerana tidak berdaya membantu mereka. Saya kesal kerana tidak berusaha dan tidak pernah mahu belajar cara yang baik untuk membantu mereka.

Penyesalan adalah lebih baik kerana ia mentarbiah diri dan hati saya untuk mencari kebaikan. Itu lebih munasabah daripada membenci hanya semata-mata kerana mereka berbeza atau kerana terhasut oleh sindrom umum. Malah, saya akan menjadi muslim yang bodoh kalau memiliki kebencian semata-mata kerana mereka golongan yang dibenci.

Berdasarkan pengalaman, saya percaya mereka boleh dibantu. Persahabatan dan saling menghormati adalah jalan lebih baik untuk membina potensi membantu, berbanding rasa benci yang melulu.

Para pendakwah, ilmuan agama dan siapa saja yang menyimpan kebencian, saya saran untuk anda semua mula mengenali mereka. Anda semua orang yang hebat – banyak ilmu hingga berbakul-bakul dalil dan hujah. Berbekalkan ilmu yang ada, sudah pasti anda mampu mencari cara untuk membantu mereka. Anda pasti temukan cara membantu mereka melalui jalan dakwah yang indah.

Kalau anda rasa takut untuk gagal, eloklah jangan mengkritik. Anda tidak layak mengomel dan membebel. Anda tidak berhak kerana anda tidak pernah berusaha pun untuk membantu mereka!

Anda lebih diperlukan untuk berdiam diri dan mengkaji cara untuk membantu golongan ini. Kalau sekadar untuk mencela, budak kecil yang salah asuhan pun pasti lebih bijak untuk melakukan semua kutukan dan hinaan kerana kenaifan akalnya.

Sudah tentu taraf ilmu para pendakwah, ustaz atau ustazah, atau sesiapa saja yang berasa hebat untuk mencela golongan ini, tidak berada dalam standard akal budak yang tersalah asuhan! – 19 Ogos, 2018


* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • terima kasih kerana menulis. Saya sentiasa menunggu tulisan tulisan begini

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Hadri Shah · Ulasan