Mangsa sindiket tipu duit di Kuala Lumpur naik 400%


Low Han Shaun

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur, Penolong Pesuruhjaya Mohd Luthfi Ismail Abdullah (memegang kad ATM) bersama sebahagian barangan yang dirampas dalam serbuan pada Selasa di Bukit Jalil yang terlibat dalam sindiket penipuan wang. – Gambar The Malaysian Insight, 28 Julai, 2017.

TERDAPAT pertambahan sindiket penipuan wang di Kuala Lumpur yang menggunakan kaedah baru untuk mengenakan mangsa tahun ini, kata ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID).

Penolong Pesuruhjaya Mohd Luthfi Ismail Abdullah berkata terdapat 137 kes di ibu negara tahun ini, berbanding 31 kes pada tahun lepas.

“Ia adalah kenaikan sebanyak 400%... sindiket ini menggunakan iklan melalui Facebook, WhatsApp, SMS dan akhbar, dan juga menyamar sebagai pegawai bank.

“Kebanyakan ‘pegawai bank’ ini biasanya berdiri berhampiran bank dan menawarkan ‘bantuan’ kepada orang yang gagal mendapatkan pinjaman,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat kontinjen polis Kuala Lumpur hari ini.

Jumlah kerugian yang ditanggung mangsa tahun ini berjumlah RM1.3 juta, berbanding RM694,000 tahun lepas.

“Tahun ini, kami berjaya menyelesaikan tiga kes besar yang melibatkan sindiket ini,” kata Luthfi.

“Di seluruh negara, kami menyelesaikan 60 kes tahun ini.”

Beliau berkata sindiket ini terdiri daripada penduduk tempatan dan biasanya menjadikan mangsa yang disenarai hitam Bank Negara atau terdesak mendapatkan wang tunai segera sebagai sasaran.

“Kegiataan mereka ini dilakukan melalui panggilan telefon dan teks. Tiada interaksi secara bersemuka.

“Mangsa dipaksa membayar ‘yuran pemprosesan’ atau ‘yuran peguam’, iaitu 10% daripada jumlah dipinjam.

“Sindiket menjadikannya kelihatan seperti proses pemeriksaan dan menjanjikan mangsa yang ingin meminjam wang tempoh dua hingga tiga hari.

“Tetapi apabila mangsa cuba menghubungi semula beberapa hari kemudian, panggilan mereka biasanya tidak dijawab.”

Tiga hari lalu, CCID menjalankan serbuan terhadap sindiket yang beroperasi di kondominium Residensi di Jalan Jalil Perkasa 1, Bukit Jalil.

Lima rakyat Malaysia ditangkap, dan 14 telefon bimbit, lima kad ATM, pasport, modem, 17 buku kira-kira, wang tunai RM7,655 dan kenderaan Mercedes-Benz dirampas.

Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Polis dijangka melanjutkan reman mereka hari ini. – 28 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen