Timbalan menteri luangkan bulan pertama tinggal bersama atlet 


Looi Sue-Chern

Timbalan menteri belia dan sukan yang baru dilantik Steven Sim Chee Keong mengambil sedikit masa untuk mencari tempat tinggal di Kuala Lumpur. – gambar fail The Malaysian Insight, 19 Ogos, 2018

TIMBALAN menteri belia dan sukan yang baru dilantik Steven Sim Chee Keong tidak terfikir akan menghabiskan sebulan pertamanya dalam kabinet untuk menjalani kehidupan sebagai salah seorang atlet negara di asrama Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil. 

Namun ia merupakan pengalaman yang membuatkan beliau berterima kasih kerana diberi peluang melihat sendiri cabaran yang dihadapi atlet negara, di luar aktiviti sukan mereka. 

Selepas dilantik timbalan menteri, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Pulau Pinang selama dua penggal mengambil sedikit masa untuk mencari tempat penginapan di Kuala Lumpur, di mana beliau akan ditempatkan. 

Kerajaan mempunyai banglo untuk beliau, tetapi ia memerlukan pengubahsuaian yang menelan kos sebanyak RM100,000. 

“Saya terfikir tentang rumah kerajaan, tetapi saya buat keputusan untuk menyewa sahaja. Kita perlu meneruskan tugas, jadi masa agak terhad. 

“Jadi saya terfikir tentang asrama MSN. Kita perlu berada dekat dengan MSN dan atlet. Jadi saya berpindah ke asrama yang menjadi tempat tinggal atlet apabila mereka ke Bukit Jalil untuk latihan,” kata Sim kepada The Malaysian Insight.

Sim berdepan pengalaman yang “tidak boleh dilupakan” pada hari pertama tinggal di asrama berkenaan apabila bekalan air terputus. 

“Ia mengejutkan saya bersyukur saya berdepan pengalaman itu. Perkara kecil sebegitu memberi kesan kepada atlet kita. Mereka memaklumkan masalah bekalan air berlarutan sejak dulu hingga sekarang.

“Tiada bekalan kuasa untuk menjalankan pam air. Ia hanya perkara kecil yang boleh diselesaikan dengan pantas, tetapi orang yang sepatutnya bersedia untuk menyelesaikan masalah sebegini tiada,” katanya. 

Selain masalah bekalan air terputus, Sim berkata hostel berkenaan, yang menyediakan penginapan seperti asrama berkelas tiga ke empat bintang itu sangat teratur dan bersih. 

Katanya, perkhidmatan yang diberikan kakitangan di situ amat baik dan makanan yang disediakan di kantin juga boleh diberikan lima bintang. 

“Tanpa notis, saya ke kantin untuk mencuba makanan yang dihidangkan kepada atlet. Makanannya agak bagus.”

Sim yang sudah menemui apartmen untuk disewa baru-baru ini berkata, beliau gembira untuk sebulan yang diluangkan di MSN yang memberikan gambaran besar kepadanya bagaimana kerajaan boleh meneruskan sokongan kepada atletnya. 

Malah, pengalamannya di MSN meninggalkan kesan besar kepadanya membuatkan beliau mahu menyewa apartmen yang terletak bersebelahan dengan asrama itu di Bukit Jalil. 

“Saya mahu dekat dengan MSN, Institut Sukan Negara dan KL Sports City,” katanya dan menambah belau akan terus menikmati kerjayanya di stadium Bukit Jalil. – 19 Ogos, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen