Daftar SST dahulu, pengecualian ditentukan kemudian, kata Guan Eng


Low Han Shaun

Perancangan awal adalah untuk syarikat Malaysia mendaftar dengan Jabatan Kastam Diraja terlebih dahulu tanpa mengambil kira sama mereka mereka dikecualikan SST atau tidak, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Ogos, 2018.

KERAJAAN Malaysia akan menggunakan pendekatan berlembut dalam pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bulan depan bagi membolehkan syarikat Malaysia menyesuaikan diri terlebih dahulu, kata Lim Guan Eng hari ini.

Katanya, perancangan awal adalah untuk syarikat Malaysia mendaftar dengan Jabatan Kastam Diraja terlebih dahulu tanpa mengambil kira sama mereka mereka dikecualikan SST atau tidak.

Ini bagi mengelak komplikasi di masa depan, katanya.

“Biar mereka mohon dahulu (untuk SST), jika mereka kata mereka dikecualikan, kami akan siasat selepas itu.

“Dan selepas kami siasat dan mendapati mereka tak dikecualikan (daripada SST), barulah mereka kena bayar SST, jika mereka dikecualikan tiada masalah, itulah maksud kami dengan pendekatan berlembut,” katanya kepada wartawan selepas taklimat SST di Subang hari ini.

Guan Eng berkata semasa sesi penerangan mengenai SST, terdapat beberapa masalah dan ketidakpastian yang dibangkitkan oleh peniaga.

“Sudah pasti terdapat beberapa soalan yang diajukan seperti pihak pengurusan perkhidmatan…mereka tidak pasti sama ada perniagaan mereka dikecualikan daripada SST.

“Barangan seperti susu dikecualikan daripada SST dan mereka berkata hanya susu biasa dikecualikan tetapi susu berperisa seperti susu coklat masih dikenakan cukai tersebut.

“Jadi saya fikir susu berperisa juga penting dan barangan ini akan dikecualikan daripada SST,” katanya.

Beliau menaruh kepercayaan kepada peniaga Malaysia untuk mendaftar SST memandangkan kerajaan baharu dibina atas dasar yang sama (kepercayaan).

“Disebabkan kerajaan Malaysia dibina atas kepercayaan rakyat, begitu juga sebaliknya.

“Kita berharap mereka (peniaga) tidak lari daripada membayar cukai dan kerajaan akan cuba menyelesaikan isu berbangkit,” katanya.
 
Mengulas tentang wang tuntutan GST berjumlah RM19.3 bilion yang masih belum dibayar, Guan Eng akan meminta Jabatan Kastam untuk mengendalikan pelaksanaan SST sebelum mengembalikan wang cukai yang tertunggak. – 18 Ogos, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen