Pakatan, BN guna taktik kotor di Sg Kandis, kata Bersih 2.0 


Melati A. Jalil

CALON Pakatan Harapan dan Barisan Nasional menggunakan taktik kotor pada kempen pilihan raya Sungai Kandis baru-baru ini, dakwa Bersih 2.0 hari ini, memberi peringatan kepada parti politik agar tidak menggunakan taktik yang sama di Seri Setia dan Balakong.

Dalam laporannya berhubung pilihan raya kecil Sungai Kandis, Bersh 2.0 mendakwa pemenang pilihan raya itu Zawawi Mughni dari PH dan calon BN Lokman Adam kedua-duanya melanggar peraturan ketika tempoh berkempen dari 21 Julai hingga 4 Ogos.

Pengarah eksekutif Bersih 2.0 Yap Swee Seng mendakwa antara kesalahan yang dilakukan termasuk menyalahgunakan aset dan program kerajaan, memberi sagu hati untuk memancing undi dan memberi hadiah sebagai pertukaran untuk mendapatkan sokongan.

“Ini merupakan sesuatu yang perlu dilihat oleh parti dan calon dan kami harap kesalahan pilihan raya yang sama tidak akan berulang pada pilihan raya kecil Seri Setia dan Balakong.

“Kami akan memantau dan sekiranya kami mendapati ada kesalahan dibuat, kami akan membuat laporan kepada pihak berkuasa berkenaan, sama ada Suruhanjaya Pilihan Raya atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM),” katanya pada sidang media yang diadakan hari ini.

Ketika kempen pilihan raya kecil Sungai Kandis, Bersih 2.0 berkata kempen Zawawi melibatkan aktiviti seperti memberi minyak enjin motosikal percuma kepada penunggang dan menyediakan pemeriksaan dan perubatan percuma kepada penduduk.

Kumpulan pembaharuan pilihan raya itu juga berkata Zawawi telah menyalahgunakan aset dan program kerajaan dalam sekurang-kurangnya empat kes, berkempen untuk mendapat sokongan di sekolah awam dan tiga program kerajaan ketika beberapa menteri didapati menggunakan kereta rasmi untuk ke pusat penamaan calon pada hari mengundi. 

Sementara itu, Lokman didapati melakukan kesalahan pilihan raya dengan memberikan makanan dan minuman untuk mendapatkan undi di dua acara. 

Bersih 2.0 juga berkata kebencian agama dan kaum juga digunakan untuk mendapatkan sokongan dalam kempen pilihan raya Lokman. 

Katanya, kenyataan yang dibuat adalah bagi menuduh DAP mahu menghapuskan masyarakat Bumiputera, pribumi dan Melayu, dan mempunyai agenda Kristian. 

Yap juga berkata SPR perlu menyiasat dan mengambil tindakan undang-undang terhadap semua kesalahan pilihan raya. 

Tambahnya SPR juga perlu menubuhkan jawatankuasa khas dengan SPRM untuk memantau rasuah dan penyelewengan sebelum, ketika dan selepas pilihan raya. 

“Pasukan penguatkuasa SPR tidak sepatutnnya hadkan kuasanya untuk hari penamaan calon dan pengundian sahaja, kerana antara hari berkenaan hanya sedikit pemantauan dibuat terhadap aktiviti kempen kepada semua calon,” katanya.

Bersih 2.0 bagaimanapun memuji SPR kerana membuat beberapa perubahan pada pilihan raya kecil Sungai Kandis, termasuk melanjutkan tempoh mengundi kepada 5.30 petang dari 5.00 petang dan melanjutkan tempoh berkempen dari 11 hari kepada 14 hari pada PRU14. 

SPR turut menambah peti undi dari dua kepada tiga untuk membantu lebih ramai pengundi membuang undi pada satu waktu. 

Bersih 2.0 bagaimanapun menggesa SPR untuk meningkatkan penguatkuasaan pada pilihan raya kecil Balakong dan Seri Setia bagi membolehkan ia memantau aktiviti seperti ceramah, jamuan dan pemberian hadiah. 

Bersih 2.0 akan menugaskan 18 pemerhati di kedua-dua pilihan raya berkenaan yang bermula hari ini. Hari mengundi akan berlangsung pada 8 DSeptember diikuti dengan 21 hari tempoh berkempen.– 18 Ogos, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen