Rafizi cadang koperasi pembiayaan mikro untuk ahli PKR Sabah


Jason Santos

Rafizi Ramli berkata PKR perlu mengukuhkan kedudukannya di Sabah supaya apabila Anwar Ibrahim naik jadi perdana menteri, beliau hanya perlu memberi tumpuan kepada usaha menarik pelaburan, autonomi dan meningkat soal ekonomi negeri itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Ogos, 2018.

NAIB Presiden PKR Rafizi Ramli mencadangkan penubuhan koperasi pembiayaan mikro untuk ahli PKR Sabah dalam kempennya merebut jawatan timbalan presiden pada pemilihan parti kali ini.

Katanya, koperasi itu adalah pendekatan serampang dua mata untuk PKR di Sabah, bukan sahaja untuk membantu ahli parti yang tidak berkemampuan tetapi juga meraih sokongan pengundi baharu negeri itu.

Rafizi yakin ia bukan sahaja akan dapat mengukuhkan kedudukan PKR di Sabah tetapi juga membantu Pakatan Harapan yang memerlukan lebih sepenggal untuk melaksanakan agenda reformasinya.

“Kami sedar kebanyakan ahli PKR terdiri daripada mereka yang bekerja sendiri dan miskin terutama di Sabah. Ramai mereka kedudukan sosial ekonominya rendah berbanding negeri lain.

“Koperasi ini akan membantu mereka mendapatkan pinjaman mikro untuk memulakan perniagaan serta dapat menarik sokongan ramai pengundi Sabah dan mungkin dapat membantu Pakatan Harapan menang sekali lagi dan menakluk kawasan yang belum dimenangi PKR,” katanya kepada wartawan di Sandakan hari ini.

Rafizi dan pasukan Reformasi 20 tahunnya sedang berkempen di Sabah untuk pemilihan PKR September ini, beliau juga akan berkunjung ke Tawau dan Kota Kinabalu.

Menyentuh isu Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri menanti, beliau berkata usaha membangunkan Sabah perlu bermula sekarang kerana PKR perlu mempunyai sokongan kuat di negeri itu sebelum Anwar yang juga presiden PKR mengambil alih pentadbiran negara daripada Dr Mahathir Mohamad.

“Apabila Anwar menjadi perdana menteri, PKR sudahpun bertapak kukuh di Sabah. Beliau hanya perlu beri tumpuan kepada isu ekonomi serta menarik lebih banyak pelaburan ke negeri ini. Antara perkara lain yang perlu dilakukannya, presiden juga perlu meneliti kembali usaha memulangkan autonomi kepada Sabah,” katanya.

Rafizi berkata Sabah pasti menjadi tumpuan utama Anwar kerana ahli PKR di negeri itu berada pada kedudukan kedua terkuat selepas Selangor.

Rafizi juga sekali lagi menegaskan yang beliau tidak berminat dengan sebarang jawatan persekutuan atau di Putrajaya, berkata yang keutamaanya sekarang adalah untuk memastikan “reformasi” berjaya dilaksanakan. – 18 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen