WALAUPUN kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak menunaikan janji manifestonya, Putrajaya akan terus menerima sokongan rakyat sekurang-kurangnya bagi tempoh 24 bulan lagi, kata Khairy Jamaluddin.
Ahli Parlimen Rembau itu menjangkakan kerajaan PH akan terus diterima rakyat walaupun gagal menunaikan 10 janji dalam tempoh 100 hari pertama pemerintahan.
“Walaupun gagal memenuhi kesemua 10 janji itu dan tidak mencapai tahap prestasi dalam tempoh 100 hari pertama, saya fikir mereka (kerajaan) masih menerima sokongan yang kuat daripada rakyat Malaysia.
“Apabila anda melihat pilihan yang rakyat miliki sama ada PH atau Barisan Nasional (BN), saya fikir mereka (rakyat) akan memberi peluang kepada Pakatan bagi tempoh setahun atau dua tahun lagi.
“Akan wujud banyak sokongan dan ruang diberikan kerana mereka merupakan kerajaan baharu sedangkan BN sudah menjadi kerajaan untuk tempoh yang lama,” kata Khairy pada sesi temu bual bersama The Malaysian Insight sempena tempoh 100 pertama pemerintahan PH semalam.
Bekas ketua Pemuda Umno itu berkata Putrajaya akan melaksanakan pelbagai ‘langkah’ bagi membuatkan rakyat Malaysia berfikir bahawa mereka telah membuat keputusan tepat pada pilihan raya umum yang lalu.
Khairy berkata antara langkah yang dilakukan termasuk membawa pulang kapal mewah Equanimity dan mendakwa bekas perdana menteri Najib Razak di mahkamah.
“Malah lebih banyak langkah akan dilaksanakan dalam tempoh 12 bulan, sekali gus secara psikologinya mengingatkan rakyat sebab sebenar mereka mengundi PH.
“Walaupun mereka (kerajaan) membuat silap, dan mereka pasti akan buat silap kerana tiada kerajaan yang sempurna, kerajaan akan terus menggunakan kaedah psikologi tersebut,” katanya.
Bagaimanapun bekas menteri belia dan sukan itu mengingatkan Putrajaya supaya tidak sesuka hati membatalkan usaha kerajaan terdahulu, sebaliknya perlu memajukan ekonomi Malaysia.
“Tempoh 100 hari lalu menyaksikan ringgit dan indeks komposit semakin lemah disebabkan keadaan ekonomi dan pelaburan yang masih belum meyakinkan di bawah kerajaan baharu.
“Soalnya bukan tentang memberi subsidi petrol atau memansuhkan GST, tetapi memastikan pertumbuhan ekonomi terus dilaksanakan. Ekonomi Malaysia adalah terbuka dan bergantung kepada sektor swasta sebagai kunci utama pertumbuhan,” katanya.
BN kehilangan kuasa selepas 60 tahun pemerintahan apabila Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengetuai PH untuk memenangi pilihan raya umum pada Mei lalu.
PH menunaikan hampir semua 10 janji dalam tempoh 100 hari termasuk pemansuhan GST dan menstabilkan harga minyak. – 18 Ogos, 2018.
Komen