Gajah Borneo di Sabah terus diancam kepupusan


Jason Santos

Seekor anak gajah terkena perangkap yang menyebabkan kaki haiwan itu mengalami luka sedalam dua inci. Kejadian itu berlaku di Taliwas, Lahad Datu kira-kira dua hari lalu. – Gambar Jabatan Hidupan Liar, 18 Ogos, 2018.

KEHIDUPAN kumpulan gajah pygmy atau dikenali sebagai gajah Borneo di Sabah kini semakin terancam susulan tindakan segelintir pihak memasang perangkap, meracun dan menembak haiwan itu.

Ketika kerajaan giat menyelamatkan haiwan itu daripada menerima nasib seperti badak sumbu Sumatera, kumpulan aktivis haiwan di Sabah mendakwa pihak kementerian yang bertanggungjawab tidak mengambil langkah yang proaktif bagi menangani ancaman tersebut.

Tahun ini sahaja menyaksikan lebih 10 ekor gajah mati manakala berpuluh-puluh lagi cedera angkara perangkap samar dan mempunyai kesan tembakan.

Pada 2016, sembilan ekor gajah ditemukan terperangkap dalam lubang sedalam 11 kaki selama berhari-hari di kawasan pembalakan di Rikunut, Tawau.

Ketika anggota jabatan hidupan liar tiba di lokasi kejadian, lima daripada sembilan gajah tersebut sudah mati, sekali gus memberi gambaran bahawa haiwan itu terperangkap di dalam lubang berlumpur itu selama berhari-hari tanpa air dan makanan.

Malah dua ekor gajah ditemukan dalam keadaan terlalu lemah dan buta akibat tragedi itu.

Beberapa tahun sebelum kejadian itu, sejumlah gajah ditemukan mati akibat diracun di tepi jalan berdekatan kawasan hutan simpan di Tawau. 

Seperti dilaporkan sejak beberapa tahun lalu, kebanyakan kematian gajah itu berlaku di berhampiran kawasan hutan simpan dan ladang kelapa sawit.

Menurut statistik Dana Sedunia Alam Semula Jadi (WWF) Malaysia, terdapat kurang 1,500 ekor gajah di Sabah dan angka itu semakin berkurangan memandangkan kawasan habitat haiwan itu semakin mengecil ekoran pembukaan ladang komersial selain pembalakan dan pemburuan haram.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Christina Liew hanya memberikan sedikit maklum balas ketika ditanya tentang isu tersebut.

Beliau berkata, kerajaan merancang untuk meminda Enakmen Pemuliharan Hidupan Liar 1997 bagi memasukkan undang-undang yang lebih ketat.

Usul yang sama pernah dibangkitkan oleh bekas menteri Masidi Manjun ketika pemerintahan kerajaan Barisan Nasional.

“Langkah ini akan membuatkan pemilik ladang atau tanah bertanggungjawab di atas kematian sebarang hidupan liar di kawasan mereka sehingga membuktikan mereka tidak bersalah,” katanya kepada The Malaysian Insight baru-baru ini. – 18 Ogos, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen