JABATAN Pendaftaran Pertubuhan (RoS) hari ini menerima pendaftaran Pakatan Harapan (PH) dengan satu syarat, logonya perlu diubah.
Pengerusi PH dan Bersatu, Dr Mahathir Mohamad berkata yang RoS tidak mempunyai masalah dengan perlembagaan PH tetapi meminta ia mengubah logo “Harapan”.
“Kami sudah menghantar permohonan secara atas talian. Tetapi, hari ini kami berada di sini untuk menyerahkan salinan permohonan kepada RoS.
“Mereka tidak mempunyai masalah kecuali logo. Mereka kata tak boleh satu perkataan sahaja, tetapi perlu ada nama penuh ‘Pakatan Harapan’ dalam logo itu,” katanya kepada wartawan di luar pejabat RoS di Putrajaya sebentar tadi.
Dr Mahathir berkata mereka menerima nasihat RoS dan akan membuat logo baru untuk diserahkan dalam masa dua hari.
“Kami menerima garis panduan yang mereka berikan mengenai logo kami.
“Kami mahu mematuhi bukan sahaja aspek undang-undang tetapi semua aspek, supaya apabila kami menyerahkan logo baru nanti, kami akan mendapat kelulusan daripada RoS.”
Dr Mahathir berkata pihaknya sudah mempunyai idea bagi logo baru.
“Kita perlu mengkaji cadangan para artis profesional yang mencipta logo itu.”
Dr Mahathir berkata pegawai RoS memberitahu agar meneliti permohonan mereka sebelum membuat sebarang keputusan.
“Kami memberitahu RoS yang kami memerlukan pendaftaran diluluskan segera.
“Ini memandangkan kita perlu bersiap sedia untuk pilihan raya umum. Jika logo tidak diluluskan, sukar untuk kita membuat poster, bendera dan barangan lain lagi. Jadi, kami berharap RoS mempertimbangkan hal ini dan meluluskan logo kami secepat mungkin yang boleh.”
Sementara itu, Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, himpunan “Sayangi Malaysia, perhimpunan” Hapuskan Kleptorasi” pada Oktober, 14 di Amcorp Mall, Petaling Jaya sudah diumumkan PH.
“Kami akan bercakap mengenai 1MDB dan isu lain. Kami masih dalam proses mendapatkan permit,” katanya. – 28 Julai, 2017.
Komen