100 hari jadi pembangkang dalam Malaysia baharu


Sheridan Mahavera

Penganalisis tempatan mengatakan Barisan Nasional dan PAS tidak lagi gagah seperti dahulu untuk membolehkan mereka menjalankan tugas sebagai pembangkang yang baik. – Gambar EPA, 18 Ogos, 2018.

HARAPAN mungkin nama gabungan pemerintah, tetapi ironinya parti pembangkang lebih memerlukannya berbanding kerajaan memerintah, kata penganalisis politik Dr Wong Chin Huat.

Pandangan Wong bukan hiperbola kerana selepas 100 hari berada dalam “Malaysia baharu”, parti pembangkang dalam Barisan Nasional (BN) dan PAS tidak lagi kuat seperti dahulu.

Dan itu bukan perkara baik bagi Malaysia baharu kerana demokrasi yang matang dan demokratik memerlukan pembangkang setia, kata pakar.

Seperti ditonjolkan, parti pembangkang terbesar, Umno dan PAS semakin condong menjadi lebih bersifat perkauman dan memainkan isu agama dalam usaha untuk membuat kemunculan semula.

Bagaimanapun menurut Wong, ia tidak bagus untuk perpaduan negara dan kestabilan sosial di negara yang berbilang budaya.

Dengan pembangkang yang terdesak dan merosakkan, kerajaan sama ada diseret ke dalam pertandingan populis yang merosakkan kepentingan nasional atau menyebabkan pengundi bosan dan tidak peduli untuk mengundi,” kata Wong dari Institut Pulau Pinang.

“Dan itu pada dasarnya akan mengembalikan negara kepada ‘Malaysia lama’ dengan skandal 1MDB dan politik perkauman yang toksik.”

Muhasabah diri dan pembelotan

Ia tidak mengambil masa lama untuk BN berpecah selepas kekalahan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pada Jun, beberapa parti Sarawak keluar untuk membentuk Gabungan Parti Sarawak, untuk mempunyai hubungan lebih baik dengan Putrajaya.

Umno hilang lima kerusi persekutuan dan negeri, sama ada menjadi bebas atau menyertai Pakatan Harapan (PH).

Gerakan dan MyPPP, dua komponen BN yang bertapak di Semenanjung, juga keluar.

Ia mengurangkan kerusi Parlimen BN kepada 54 daripada 79 yang dimenangi pada pilihan raya 9 Mei. Umno hilang tiga kerusi daripada 54 yang diperoleh dalam pilihan raya.

Pada PRU13, BN menang 133 kerusi Parlimen, yang mana 88 adalah kepunyaan Umno.

Muhasabah diri ketiga-tiga parti lain - Umno, MCA dan MIC - tidak memperbaiki hubungan mereka.

Perang kata-kata meletus antara MCA, komponen kedua terbesar BN, dan pemimpin Umno mengenai siapa yang harus dipersalahkan di atas kekalahan gabungan itu.

Petanda ia merancang masa depan sendiri, MCA yang merupakan parti berasaskan kaum Cina itu memutuskan untuk bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Balakong menggunakan logo dan bendera sendiri.

Parti itu juga tidak dilihat berkempen untuk Umno semasa PRK Sungai Kandis baru-baru ini, walaupun kawasan itu mempunyai 12% pengundi Cina.

Wong Chin Huat berkata tindakan terdesak pembangkang memainkan isu perkauman dan agama tidak bagus untuk perpaduan negara dan kestabilan sosial di negara yang berbilang budaya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Ogos 2018.

PRK itu menyaksikan pemimpin Umno menggunakan beberapa retorik yang paling memecahbelahkan dalam usaha mendapatkan undi Melayu-Islam.

Menurut Pemangku Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Mohd Azlan Zainal, Umno yang menonjolkan fahaman perkauman, mencerminkan usaha parti untuk bereksperimen dengan apa yang difikirkannya akan membantu membina dan mendapatkan semula sokongan.

“Dari segi motivasi dan jentera, sukar bagi Umno untuk pulih dan dapatkan semula kekuatan lama,” kata Azlan.

“Jadi, mereka bereksperimen dengan kaedah kempen yang berbeza, dan itulah sebabnya mereka menggandakan isu kaum dan agama.”

Kembalikan kuasa

Tindakan PH membuka ruang awam untuk perdebatan membolehkan kumpulan masyarakat madani berkembang, untuk memastikan tanggungjawab kerajaan.

“Kumpulan masyarakat sivil mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pembangkang yang efektif, untuk meneliti atau menentang dasar kerajaan yang tidak popular,” kata Wong.

“Ini berlaku di peringkat kebangsaan, dan juga di negeri seperti Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Johor.”

Di Johor, satu gabungan baru kumpulan masyarakat sivil, yang dikenali sebagai Forum Sosial Johor, menuntut kerajaan negeri PH membuat pembaharuan dalam badan perundangan tempatan untuk memperkukuhkan semak dan imbang, kata Wong.

Ini termasuk mewujudkan jawatan rasmi untuk pemimpin pembangkang negeri, yang akan mempunyai tanggungjawab sama berat dengan ahli majlis.

Wong berkata ternyata tiada satu pun daripada idea ini - yang diperjuangkan oleh parti dalam PH ketika mereka berada dalam pembangkang - datang daripada Umno.

Selain kumpulan masyarakat sivil, banyak ahli Parlimen dan personaliti PH, seperti Charles Santiago dan Rafizi Ramli, bersuara terhadap kerajaan apabila ia dilihat menyeleweng daripada janji pilihan raya.

Bagaimanapun, bukan semua wakil rakyat BN hilang harapan.

Ahli Parlimen, seperti Khairy Jamaluddin, Wee Ka Siong, Azalina Othman Said dan Mustapa Mohamed, secara agresif mempersoalkan dasar PH di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen ini nampaknya mahu BN berubah menjadi pembangkang yang inklusif, konstruktif dan setia yang boleh mendapatkan semula kepercayaan rakyat sebagai alternatif yang berdaya maju kepada PH.

“Tetapi persoalannya, bolehkah mereka memimpin hala tuju BN atau Umno?” Kata Wong.

“Para ahli Parlimen yang ‘berfikir’ dalam pembangkang perlu menyokong pilihan raya tempatan, kerana ia akan membenarkan BN mendapatkan semula tempat di negeri PH dan mengekalkan bakat dan harapannya untuk kembali berkuasa.” – 18 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen