Pakatan penuhi 21 janji manifesto, kata Dr Mahathir


Noel Achariam

Antara usaha yang diambil kerajaan termasuklah menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) dan Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 17 Ogos, 2018.

SATU pertiga daripada 60 janji dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH) sudahpun Putrajaya penuhi dalam 100 hari pemerintahannya, kata Dr Mahathir Mohamad.

Menurut perdana menteri, 21 janji telah dilunaskan bagi membebaskan Malaysia dari rasuah dan memastikan negara ditadbir urus dengan baik.

“Usaha ini memerlukan satu rancangan bersepadu yang drastik dan menyeluruh. Komitmen kerajaan mencapai prinsip mahu Malaysia dikenali kerana integriti, dan bukannya kerana rasuah,” kata Dr Mahathir menerusi perutusan khas sempena 100 hari pentadbiran PH yang disiarkan di RTM1 malam ini.

Antara usaha yang diambil kerajaan termasuklah menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) dan Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC).

Pengerusi PH itu juga berkata usaha-usaha ini penting untuk menyelamatkan Malaysia daripada rasuah serta perlu dilaksanakan dengan segera dan berkesan.

Menurut Dr Mahathir, GIACC diberi mandat untuk mengadakan pertemuan dengan semua ketua setiausaha kementerian supaya bagi risiko ancaman rasuah dapat dikenal pasti berdasarkan isu-isu yang telah dikenal pasti oleh organisasi masing-masing.

“Ketua setiausaha kementerian atau ketua jabatan dikehendaki secara peribadi memikul tanggungjawab dan berbincang dengan GIACC bagi melakar pelan tindakan untuk mengatasi masalah atau isu yang dikenal pasti.

“Kerajaan akan menggubal Pelan Anti Rasuah Nasional bagi membolehkan isu-isu governans, integriti dan antirasuah ditangani secara menyeluruh. 

“Satu undang-undang yang membolehkan tindakan punitif diambil terhadap pegawai-pegawai yang sengaja menyebabkan ketirisan, pemborosan atau pembaziran kepada dana kerajaan juga akan digubal.”

Menurut Dr Mahathir, beberapa pindaan berkaitan pengisytiharan harta sedang dibuat di mana perdana menteri dan timbalan perdana menteri juga dikehendaki mengiystihar harta mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Ogos, 2018.

Bagi membanteras isu politik wang, Dr Mahathir berkata Rang Undang-undang Pembiayaan Politik sedang digubal. 

“Sebuah pasukan khas yang diketuai oleh GIACC telah dibentuk untuk mengemukakan draf akta pembiayaan politik kepada Kabinet.

“Satu dasar mengenai pemberian hadiah dan derma kepada anggota pentadbiran awam (melibatkan menteri sehingga setiausaha-setiausaha politik) sedang digubal. Pada masa sekarang, dasar ini hanya memfokuskan kepada penjawat awam.

“Kerajaan telah memutuskan agar anggota pentadbiran (menteri dan timbalan menteri) tidak lagi mengeluarkan surat sokongan ke atas mana-mana projek atau urusan permohonan. Ketua jabatan juga diminta tidak lagi menganggap surat sokongan sebagai arahan atau keputusan anggota pentadbiran,” kata pengerusi PH itu.

Menurut Dr Mahathir lagi, beberapa pindaan berkaitan pengisytiharan harta sedang dibuat di mana perdana menteri dan timbalan perdana menteri juga dikehendaki mengiystihar harta mereka. – 17 Ogos, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen