Jaga pertuturan kamu di Parlimen, kata Anwar pada wakil rakyat


Kamles Kumar

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata beliau ada menerima aduan daripada orang ramai berhubung tahap penguasaan Bahasa Malaysia yang lemah dalam kalangan ahli Parlimen.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 17 Ogos, 2018.

ANWAR Ibrahim berkata beliau ada menerima aduan daripada orang ramai berhubung tahap penguasaan Bahasa Malaysia yang lemah dalam kalangan ahli Parlimen.

Bekas timbalan perdana menteri berkata orang ramai juga mengadu wakil rakyat menggunakan kata-kata tidak sopan semasa persidangan Dewan Rakyat.

“Tahap penguasaan bahasa (Bahasa Malaysia) harus ditingkatkan. Ramai mengkritik ahli Parlimen kerana kurang mahir dalam bahasa dan menggunakan bahasa yang kurang sopan,” kata Anwar pada sidang media di Petaling Jaya, hari ini.

Beliau turut menasihati ahli Parlimen yang tidak mahir Bahasa Malaysia supaya hadir kelas dan belajar bagaimana untuk berbahas dengan cara betul di Dewan Rakyat.

“Bagi mereka yang lemah dalam Bahasa, tidak salah untuk Parlimen (menganjurkan) melakukan seperti Selangor buat sebelum ini selepas kami ambil alih pada 2008.

“Kami menganjurkan kursus Bahasa Malaysia di Dewan Undangan Negeri. Jika tidak malulah dengan anak-anak kita, melihat penguasaan bahasa kita yang lemah jika dibandingkan dengan pelajar SPM (Sijil Pelajaran Malaysia),” katanya.

Bagaimanapun, presiden PKR itu berkata cadangan tersebut harus difikirkan secara serius oleh kerajaan.

“Ini adalah cadangan yang sudah diutarakan dan perlu diberikan pertimbangan serius. Bukan sahaja kursus bahasa tetapi juga peraturan,” tambahnya.

Terdapat kritikan terhadap wakil rakyat yang tidak sopan semasa berbahas di Parlimen.

Beberapa wakil rakyat di kedua-dua blok pembangkang dan kerajaan, sebagai contoh Bung Mokhtar Radin (BN) dan RSN Rayer (DAP), menggunakan kata-kata tidak sopan.

Parlimen kini mempunyai 90 ahli baharu selepas PRU14, dengan sebahagian besar daripadanya adalah pemimpin Pakatan Harapan. – 17 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen