Anwar: Saya tak setuju haram buku tapi...


Kamles Kumar

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata buku seperti Satanic Verses karangan penulis warga Britain Salman Rushdie wajar diharamkan kerana menghina Islam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 17 Ogos, 2018.

DALAM semangat Malaysia baharu, buku tidak harus diharamkan kecuali judul tertentu yang dianggap menghina agama, kata bekas timbalan perdana menteri Anwar Ibrahim.

Presiden PKR itu berkata buku seperti Satanic Verses karangan penulis warga Britain Salman Rushdie wajar diharamkan kerana menghina Islam.

“Pada pandangan saya, saya tidak bersetuju dengan pengharaman buku, dengan pengecualian (judul tertentu) termasuk Satanic Verses.

“(Buku itu) mencerca, menghina agama, nabi, Islam… buku seperti itu kita harus hati-hati,” kata Anwar pada sidang media di Petaling Jaya, hari ini.

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata, bagaimanapun, buku yang tidak selari dengan norma, tidak harus diharamkan, sebaliknya perlu digalakkan.

“Jika perkara yang membezakan itu hanyalah pandangan, maka kita harus membenarkan lebih banyak cetusan kreativiti dan rakyat boleh berfikir sendiri,” kata Anwar.

Tambahnya, Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara harus terus dipelihara.

Kerajaan terdahulu Barisan Nasional mengharamkan buku dan komik daripada penulis seperti Faisal Tehrani, Irshad Manji dan kartunis Zulkiflee SM Anwar Ulhaque atau Zunar.

Kerajaan minggu lepas membatalkan pengharaman buku komik Zunar berjudul Sapuman: Man of Steal, yang mengkritik bekas perdana menteri Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor. – 17 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen