Biar Dr Mahathir urus negara, saya urus Parlimen, kata Anwar


Kamles Kumar

Anwar Ibrahim berkata hubungannya dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam keadaan baik meskipun ada yang cuba merenggangkan mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 17 Ogos, 2018.

ANWAR Ibrahim berkata buat masa ini beliau mahu menjaga urusan Parlimen sementara Perdana Menetri Dr Mahathir Mohamad mentadbir negara.

Presiden PKR itu berkata beliau akan menjaga Parlimen dan menguruskan sebarang pembaharuan meskipun tidak berada dalam kerajaan.

“Saya beritahu PM (Dr Mahathir) yang beliau boleh terus tadbir kerajaan, biar saya jaga urusan Parlimen.

“Walaupun selepas saya masuk (kerajaan), saya akan tengok pembaharuan Parlimen dan awak (Dr Mahathir) uruskan urusan negara,” Anwar memberitahu pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan sasterawan, penulis dan budayawan, hari ini.

Bagaimanapun, bekas timbalan perdana menteri itu tidak menyatakan atas kapasiti apakah beliau akan mengendalikan urusan Parlimen.

Anwar turut berkata walaupun ada pihak yang mahu “merenggangkan” hubungan beliau dan Dr Mahathir, menurutnya hubungan mereka dalam keadaan baik.

“Saya akan terus menyokong beliau (Dr Mahathir). Saya tak akan benarkan (cubaan renggang hubungan).

“Saya tak akan benarkan cubaan untuk ganggu hubungan kami. Kami terlah berjuang sebelum ini dan sekarang kami telah membuat keputusan untuk jadi pasukan yang kukuh,” katanya.

Menurut perjanjian Pakatan Harapan, Dr Mahathir akan menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar.

Meskipun tiada garis masa ditetapkan, Dr Mahathir sebelum ini berkata akan melepaskan jawatan kepada Anwar dalam tempoh dua tahun lagi.

Sementara itu, Anwar perlu bertanding dalam mana-mana pilihan raya kecil bagi membolehkan beliau dipilih menjadi ahli Parlimen sebelum memegang jawatan dalam kerajaan.  – 17 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen