PEGUAM mewakili tukang emas Dubai menepis dakwaan polis Malaysia bahawa tiada lagi syarikat yang tampil menuntut barang kemas yang dirampas ketika serbuan ke atas premis yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Najib Razak.
Menerusi sepucuk surat kepada Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun yang dilihat The Malaysian Insight, peguam-peguam berkenaan mendakwa tiga barang kemas dihantar kepada isteri Najib, Rosmah Mansor antara Januari dan April tahun ini.
Fuzi dilaporkan telah berkata tiada syarikat lain tampil menuntut barang kemas yang dirampas polis selain daripada tukang emas Lubnan, Global Realty Trading SAL yang menuntut 44 barang kemas.
“Kami terkejut dengan kandungan artikel kerana kami telah menghantar sepucuk surat bersama kepada pengarah Jabatan Siasatan Jenayah,” surat itu menyebut, merujuk kepada laporan The Malaysian Insight.
Selepas Pakatan Harapan (PH) menang pilihan raya umum 9 Mei lalu dan mengambil alih Putrajaya, pihak polis telah menyerbu beberapa premis yang dikaitkan dengan Najib.
Polis berjaya merampas 12,000 barang kemas, 567 beg tangan, 423 jam tangan dan 234 cermin mata hitam. Rampasan yang terbesar dalam sejarah Malaysia itu bernilai RM1.1 bilion.
Tukang emas berpengkalan di Dubai itu juga mendakwa Rosmah masih belum menjelaskan bayaran barang kemas berkenaan, sama seperti dakwaan Global Realty.
Peguam-peguam itu berkata pada 20 Jun Rosmah memberitahu tukang emas Dubai terbabit bahawa barang kemas yang beliau ambil telah dirampas polis dan tidak dapat membayarnya.
Menurut peguam-peguam itu lagi, mereka telah cuba mendapatkan pengasahan bagi ketiga-tiga barang kemas itu dari polis. – 17 Ogos, 2018.
Komen