RAKYAT Malaysia di media sosial sebahagian besarnya tidak berpuas hati dengan 100 hari pentadbiran Pakatan Harapan (PH), mengatakan janji yang tidak dipenuhi sebagai salah satu perkara utama yang menjadi sungutan, menurut pengundian dalam talian oleh The Malaysian Insight.
Kerajaan sekarang mengambil alih kuasa selepas pilihan raya umum pada 9 Mei, menyingkirkan Barisan Nasional (BN) yang memerintah selama 61 tahun.
Bagaimanapun, 100 hari selepas menerima sambutan wira ke Putrajaya, gabungan itu mendapat kritkan hebat daripada pengguna media sosial.
Sejumlah 53,000 pengguna media sosial mengambil bahagian dalam tinjauan Facebook, dengan 67% mengundi “Tidak” kepada soalan sama ada mereka berpuas hati dengan 100 hari PH memerintah. Hanya 33% mengundi “Ya”.
Bagaimanapun, empat daripada lima orang dalam tinjauan berasingan yang dijalankan di kalangan pengguna Facebook berbahasa Mandarin berkata PH patut dimaafkan walaupun tidak berjaya menepati janji kerana mewarisi masalah daripada pentadbiran BN.
Hanya 18% daripada 4,400 responden berkata PH tidak boleh dimaafkan dan ia sepatutnya melakukan penyelidikan dan membuat janji pilihan raya yang realistik.
Begitu juga, tinjauan pendapat Merdeka Centre yang dikeluarkan minggu ini menunjukkan populariti Perdana Menteri Dr Mahathir Mohammad turun dari 83% pada Mei kepada 71% pada Ogos.
Sementara itu, pengguna media sosial Yeoh Richard Yyz berkata PH perlu terus memperkukuhkan kebebasan bersuara, beragama, pendidikan dan pembaharuan parlimen.
Seorang pengguna Facebook lain, CikDanny Naamriq berkata beliau akan mengundi “Tidak” sehingga kerajaan PH memenuhi janji mereka untuk mengurangkan harga bahan api, menghapuskan tol dan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Negara (PTPTN). – 17 Ogos, 2018.
Komen