Penganalisis bimbang penjimatan kos LRT 3 akan sebabkan kesesakan


Zaim Ibrahim

Ketua Pengarah Pusat Kajian Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Law Teik Hua berkata penjimatan kos boleh menyebabkan kesesakan kerana sistem hanya akan menggunakan set kereta api tiga koc. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Ogos, 2018.

PENGANALISIS bimbang keputusan kerajaan menurunkan hampir separuh kos projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT 3) akan menyebabkan kesesakan.

Ketua Pengarah Pusat Kajian Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Law Teik Hua berkata ia akan menyebabkan kesesakan kerana sistem itu hanya akan menggunakan set kereta api tiga koc.

Law berkata kesesakan akan timbul kerana kereta api itu hanya akan dapat membawa jumlah penumpang lebih rendah.

“(Kita jangka) permintaan adalah tinggi, ia akan menyebabkan kesesakan dalam dan luar kereta api.

“Tetapi, kebaikannya ialah kereta api itu boleh dipandu dengan lebih laju,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insight baru-baru ini. 

Beliau mengulas pengumuman kerajaan untuk meneruskan projek itu dengan kos RM16.63 bilion – melibatkan penjimatan sebanyak 47% daripada kos RM 31.65 bilion diumumkan sebelum ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada Julai lalu mengumumkan, LRT 3 hanya akan menggunakan 22 set keretapi tiga koc, berbanding 42 set kereta api enam koc mengikut rancangan asal.

Selain itu, kerajaan menangguhkan pembinaan enam stesen – Lien Hoe, Temasya, Persiaran Hishamuddin, Sirim, Bukit Raja dan Bandar Botanic.

Turut dibatalkan, pembinaan terowong sepanjang dua kilometer. Saiz depoh kereta api itu juga dikecilkan untuk menampung bilangan kereta api LRT yang lebih sedikit.

Kerajaan juga akan melanjutkan tempoh menyiapkan projek LRT3 dari tahun 2020 ke 2024 untuk mengurangkan lagi kos pembinaan. – 17 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen