SETIAUSAHA Agung Umno Annuar Musa berkata Malaysia berundur ke era 1990-an dibawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad dengan pelaksanaan dasar yang akan merosakkan ekonomi dan hubungan kaum negara ini.
Ahli Parlimen Ketereh itu menjelaskan yang dasar dilaksanakan Pakatan Harapan bersifat populis dan akan memberi kesan kepada ekonomi serta sosial negara pada jangka masa panjang.
“Mereka sudah mula melakukan pelbagai kerosakan kepada negara, hubungan kaum dan sata rasa ia adalah sesuatu yang serius. (Dr) Mahathir bawa balik era 90an, beliau kembali kepada sistem apabila hanya seorang buat semua kerja,” katanya kepada The Malaysian Insight dalam satu wawancara sempena 100 hari PH berkuasa.
“Eksekutif buat semua kerja tanpa hormat kepada pemisahan kuasa. Kedaulatan undang-undang terkesan apabila lantikan politik jadi kebiasaan sekarang,” katanya.
Annuar juga mengecam beberapa dasar yang bertentangan dengan manifesto PH, misalnya janji untuk melantik ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan peguam negara oleh Parlimen yang tidak dipenuhi.
“Sebelum ini mereka berjanji yang semua lantikan ini akan dibuat oleh Parlimen bagi mengurangkan campur tangan (lantikan) politik. Daripada apa yang kita nampak sekarang, dan ia berlaku setiap hari, saya tak nampak perkara positif setakat ini,” tambah Annuar.

Bekas pengerusi Mara itu juga memberi amaran yang ekonomi akan terus jatuh pada masa depan disebabkan dasar populis PH yang hanya memberikan manfaat jangka pendek.
“Dalam aspek ekonomi, rizab semakin mengecil. Kekukuhan nilai mata wang kita semakin terhakis.
“Akhirnya, anda gagal untuk menyediakan terutama sekali keperluan asas, anda akan kembali ke dalam kitaran ganas (ekonomi populis). Saya tak nampak apa-apa dibuat lagi setakat ini kecuali beberapa pendekatan populis,” katanya.
Barisan Nasional yang diterajui Umno hilang kuasa selepas 60 tahun apabila Dr Mahathir mengetuai PH untuk menang pilihan raya Mei lalu. – 17 Ogos, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh TC BOY · Ulasan