IA akan menjadi perjalanan yang jauh bagi Barisan Nasional (BN) jika ia berhasrat untuk menebus kekalahan pada pilihan raya umum dan merampas semula kuasa persekutuan, kata Khairy Jamaluddin.
Ahli Parlimen Umno itu berkata, ia mungkin memerlukan lebih daripada satu pilihan raya untuk meyakinkan rakyat Malaysia yang mengundi untuk menyingkirkan BN selepas 60 tahun ia berkuasa.
“Kita perlu menerima yang kita bermula pada dasar paling bawah. Dan ia adalah perjalanan yang sangat panjang untuk menebusnya.
“Ia akan mengambil masa bertahun-tahun, dan memerlukan lebih daripada satu pusingan pilihan raya, jadi kita perlu bersedia untuk itu,” kata Khairy kepada The Malaysian Insight dalam temu bual bagi siri sempena 100 hari Pakatan Harapan (PH) memerintah.
Bekas menteri belia dan sukan itu menegaskan BN perlu mengakui kesilapannya secepat mungkin dan menjadi pembangkang yang tegas.
“Kita harus menunjukkan kepada orang ramai bahawa walaupun ada defisit kepercayaan yang serius dan besar yang masih wujud dengan BN, kita sedang bergerak ke depan.
“Kami bukan dalam penafian. Apa yang sudah berlaku, sudahlah.
“Kami sudah kalah. Mereka mengundi kami keluar. Tetapi kita ada di sini untuk memainkan peranan sebagai pembangkang yang baik dan diharapkan satu hari rakyat Malaysia akan menganggap kita sebagai kerajaan alternatif yang baik,” kata Khairy.
BN, yang merupakan gabungan paling lama di negara ini, kehilangan kuasa selepas 60 tahun memerintah apabila perdana menteri semasa Dr Mahathir Mohamad yang memimpin PH berjaya membawa kemenangan besar dalam pilihan raya pada Mei lalu.
Pakatan itu hanya berjaya memenangi 79 daripada 222 kerusi di Parlimen.
Daripada 13 parti, BN kini dianggotai tiga parti iaitu Umno, MCA dan MIC. Pemergian beberapa pihak, terutamanya dari Sabah dan Sarawak, selepas kekalahan pilihan raya, menyebabkan BN hanya tinggal 54 kerusi Parlimen, kebanyakannya disandang oleh ahli Parlimen Umno.
Berikutan kekalahan yang menghancurkan, bekas perdana menteri Najib Razak meletak jawatan sebagai presiden Umno dan membuka ruang jawatannya untuk dipertandingkan pada pemilihan parti Jun lepas.
Khairy, yang bertanding untuk jawatan tertinggi dengan gesaan untuk membaik pulih parti itu, kalah kepada Ahmad Zahid Hamidi.
Bekas ketua Pemuda itu sekarang berkata Umno terjebak dalam krisis “eksistensial” sama ada terus kekal dengan imej parti politik perkauman atau menjenamakan ia semula untuk menyesuaikan diri dengan keadaan politik semasa di Malaysia.
“Seperti yang saya katakan, ia tidak akan mudah keluar dari lubang yang sangat besar ini.
“Umno, yang merupakan parti terbesar dalam BN, menghadapi krisis eksistensial, mencari rohnya, yang mana jalannya, sama ada ia terus dengan retorik kaum lama, ketakutan agama, mengaitkan diri dengan karektor yang tercemar dan mengeluarkan kenyataan yang mengapi-apikan.
“Atau adakah kita menunjukkan bahawa kita boleh melakukan pembaharuan, perubahan, merekrut anggota dan pemimpin yang lebih baik, profesional yang progresif,” kata Khairy.
Ahli Parlimen Rembau itu memberitahu The Malaysian Insight partinya perlu segera menentukan arah sebelum ia boleh mula mendapatkan sokongan orang ramai.
“Pada masa ini, kita berbelah bagi di antara perkara yang salah iaitu kebencian perkauman, ketakutan agama dan perkara yang baik seperti pembangkang yang dipercayai, bercakap bagi pihak semua rakyat Malaysia, mempertahankan masyarakat Melayu tetapi dengan cara yang betul, supaya dilema dapat diselesaikan,” kata Khairy.
Beliau juga berkata jika terdapat beberapa pilihan raya kecil, BN harus bersedia untuk kalah kerana rakyat Malaysia masih teruja dengan kemenangan PH.
“Jelas sekali mana-mana pilihan raya kecil yang berlaku dalam tempoh satu atau dua tahun akan datang, terutamanya jika bukan di kubu kuat BN, kita akan kalah.
“Ia menggambarkan kesan kesengsaraan kami kerana anda akan terus kalah, kalah dan kalah,” kata Khairy. – 17 Ogos, 2018.
Komen