Rakyat lebih peduli isu periuk nasi, bukan LGBT


Sheridan Mahavera

Kos sara hidup tinggi adalah isu utama rakyat Malaysia di semua negeri dan Mereka mahu melihat langkah yang diambil kerajaan untuk menanganinya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Ogos, 2018.

POLEMIK hak lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) hangat di media sejak kebelakangan ini tetapi ia hampir tidak dibincangkan dalam kalangan majoriti rakyat Malaysia

Dalam dunia digital, isu-isu kos sara hidup dan ekonomi adalah perhatian utama dalam kalangan majoriti rakyat yang bertutur menggunakan Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris, kata sebuah firma analisis data Eastern Analytica.

Isu-isu inilah yang seharusnya jadi perhatian utama kerajaan baru Pakatan Harapan (PH) yang masuk hari ke-100 menjadi kerajaan, kata Nor Zachry Fernandez daripada Eastern Analytica.

Firma itu menasihati PH dalam kempennya semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan memberikan penilaian tentang mood di akar umbi terhadap pakatan itu.

Ia melakukannya melalui alat penganalisa sentimen yang mendengar dan mentafsir apa yang orang bualkan di Internet dan media sosial.

Dalam PRU14 ia meramalkan PH akan menang 54.9% kerusi Parlimen. Ini berdasarkan tahap hubungan pengundi dengan PH di semua 222 kerusi Parlimen.

Selepas PRU14, Eastern Analytica meneruskan penilaian itu dan sejak dua bulan lalu memantau topik yang hangat dalam kalangan pengguna media sosial.

“Sekiranya isu LGBT penting bagi kebanyakan rakyat Malaysia dan mereka bercakap mengenainya di kedai kopi, ia akan ternampak di ruang dalam talian tetapi sekarang ini tidak,” kata Nor Zachry kepada The Malaysian Insight.

“Perkara paling besar yang sedang diperkatakan sekarang ialah harga barang dan bagaimana orang cuba bertahan.

“Kos sara hidup tinggi adalah isu utama rakyat Malaysia di semua negeri dari utara sampai ke pantai timur, dari Selangor ke Johor. Orang mahu lihat langkah yang diambil untuk menanganinya.

“Jadi kerajaan perlu memberi keutamaan menangani isu kos sara hidup dan ekonomi.”

Tempoh 100 hari PH sebagai kerajaan menyaksikan ia berdepan dengan pelbagai isu sosio politik dan masalah dana kerajaan yang meleset kesan apa yang didakwa salah urus pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelumnya.

Tekanan untuk menyelesaikan hutang RM1 trilion memberi kesan kepada kemampuannya menunaikan 10 janji yang dikemukakan semasa kempen PRU14.

Ia setakat ini menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang kurang popular yang dikatakan menyebabkan kos sara hidup meningkat. Nilai ringgit yang melemah bagaimanapun menyebabkan harga makanan dan barangan rumah yang diimport lebih mahal.

Tindakan menteri Pakatan Harapan mencetuskan kemarahan apabila dilihat mengambil sikap lebih bertolak ansur terhadap LGBT dengan menggesa mereka tidak lagi dipinggirkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Ogos, 2018.

Putrajaya juga dikritik oleh kelompok Melayu dan Muslim berhubung lantikan peguam negara dan ketua hakim negara serta pelannya mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC).

Anggota pentadbirannya juga mencetuskan kemarahan apabila mengambil sikap lebih bertolak ansur terhadap LGBT dengan menggesa mereka tidak lagi dipinggirkan.

Pendirian ini berbeza dengan sikap pentadbiran BN sebelum ini yang mencerca dan menghukum kelompok LGBT.

Menurut Nor Zachry, isu LGBT mewakili pertembungan pemikiran di Malaysia yang bukan saja perlu ditangani dengan wajar oleh PH tetapi perlu diubah.

“Perkara ini dilihat dari dua kaca mata iaitu liberal dan konservatif Malaysia.

“Tetapi dua kaca mata ini minoriti dalam spektrum masing-masing. Masih ada kelompok pertengahan yang mewakili majoriti rakyat Malaysia. PH perlu mendekati kumpulan majoriti ini.”

Kerajaan baru, katanya, perlu melaksanakan agendanya dengan tegas setelah dapat mandat untuk memerintah.

“PH berjaya mendengar suara rakyat melalui Invoke, IDE dan Eastern Analytica terutamanya semasa pilihan raya umum.

“Mereka menyuarakan suara rakyat itu di Parlimen dan melalui manifesto.

“Sekarang mereka perlu mengotakan janji dan perancangan dengan tegas tanpa gentar dan memihak. Agenda reformasi perlu ditegakkan dan mereka juga mesti mengubah pemikiran rakyat Malaysia.” – 17 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen