Politik, muzik pop dan seladang PSRM


Wan Hamidi Hamid

REHAT seketika  daripada isu politik kepartian, saya ingin berkongsi pengalaman sedikit tentang pengaruh politik melalui muzik. Maaf, ia bukan satu penyelidikan, sekadar pengalaman diri sendiri di sekitar awal hingga pertengahan 1980-an.

Saya anak Pulau Pinang. Pada penghujung 1970-an sewaktu di awal bangku sekolah menengah, saya terjumpa nada muzik berlainan daripada irama popular yang berkemundang di radio. Sebelum itu, saya suka mendengar siaran Rangkaian Biru (Bahasa Inggeris) dan rancangan tempatan Bahasa Melayu di sebelah petang yang banyak menyiarkan lagu-lagu a-go-go atau kemudiannya digelar pop yeh-yeh.

Siaran yang saya baru dengar itu bukan dari mana-mana rangkaian RTM tetapi melalui stesen radio Royal Australian Air Force (RAAF) yang berpangkalan di Pulau Pinang. Entah apa-apa muzik yang dimainkan oleh para penyiar amatur stesen tersebut. Namun itulah antara daya tarikannya.

Muzik pop Australia – sama ada pop alternatif atau komersil – memperkenalkan saya kepada Cold Chisel, Australian Crawl, Paul Kelly, Divinyls, Skyhooks, Rose Tattoo, Pseudo Echo dan banyak lagi.

Namun saya lebih tertarik kepada band-band seperti Midnight Oil, The Saints, Mental as Anything, Yothu Yindi dan beberapa lagi yang dikategorikan dalam genre new wave, punk dan alternatif.

Mulanya memang kerana melodi yang menarik, lincah dan berlainan sedikit daripada pop komersil. Tidak puas dengan irama dan lagunya sahaja, saya cuba mendengar bersungguh-sungguh tentang apa yang dinyanyikan. Tanpa internet pada masa itu serta tiada bahan bacaan berkaitan, saya hanya mampu mengandaikan lirik yang dinyanyikan itu dengan kemampuan Bahasa Inggeris yang agak terhad.

Jiwa memberontak

Ia menguja saya apabila menyedari lagu-lagu kumpulan Midnight Oil banyak berkisar tentang hak Orang Asal atau Aborigine Australia, perjuangan alam sekitar dan imperialisme Amerika Syarikat. Bagi The Saints pula, lagu-lagu yang keras bunyi gitarnya itu menjadikan ia popular sebagai band punk pertama dari Australia, melepaskan geram anak muda yang hidup dalam kekosongan dan jiwa memberontak. Ia merupakan protes yang mudah diterima minda muda yang gelisah.

Bermula dari situlah saya memberanikan diri mendengar siaran radio BBC World Service yang boleh dicapai melalui radio kecil saya dengan bunyi pecah-retak untuk mendengar rancangan John Peel.

Saya sendiri masih hairan bagaimana saya boleh terjumpa rancangan arwah Peel sebagai DJ yang kini terkenal sebagai legenda punk/alternatif, kerana tiada kawan yang sama-sama berminat dalam genre tersebut. Mungkin takdir.

Dari situ sekitar 1980, mula saya terdengar pelbagai band yang tidak pernah ke udara di radio. Antaranya adalah Souxsie and the Banshees, Human League, Orchestral Manoeuvres in the Dark, The Fall, Joy Division dan The Clash.

Menyedari semakin sukar mendengar lirik lagu – bukan sahaja kerana bunyi pecah frekuensi SW (short wave) tetapi memang cara nyanyian yang anti-pop komersil sukar ditangkap gegendang telinga – saya mencari jalan lain.

Nasib baik memang ada caranya. Di Pulau Pinang sekitar lewat 1970-an, saya memang biasa bertandang bersama dua tiga kawan karib ke MacAlister Road yang menyediakan ruang untuk penjual buku dan majalah terpakai dari luar negara, terutamanya dari UK.

Sekitar darjah lima dan enam, kami banyak mencari komik lucu Beano atau komik perang Commando serta komik Amerika seperti Marvel atau DC, dan buku-buku cerita kanak-kanak dalam Bahasa Inggeris. Memang banyak pilihan dengan harga yang sangat murah.

Memahami muzik protes

Jadi apabila mula memahami dan menikmati muzik keras dari radio RAAF dan BBC itu, bermula dari Tingkatan Dua, MacAlister Road membuka dunia baru apabila saya menemui majalah-majalah termasuk Smash Hits – tentunya masa itu agak bodoh dan tidak tahu Smash Hits itu majalah pop komersil yang trendy.

Tetapi peduli apa; janji puas hati melihat poster dan gambar The Jam, The Clash, The Stranglers, Sex Pistols, Ramones, The Damned, Blondie, Revillos, dan sebagainya.

Nasib baik juga terjumpa majalah ZigZag yang sebenarnya lebih mengisi kedahagaan jiwa dengan tulisan-tulisan bernas, malah berat, tentang genre muzik baru (bagi saya) sepanjang pertengahan hingga akhir 1970-an. Gaya dan layout majalah juga berbeza daripada yang pernah saya lihat sebelumnya; mungkin kerana pada masa itu saya belum sedar tentang genre fanzine.

Sepanjang melayan minat itu, saya tidak ketemu rakan-rakan sekolah yang berkongsi citarasa. Memang ada seorang dua yang boleh melayan sama tetapi ia lebih mirip kepada “peminat heavy metal yang bersolidariti dengan peminat punk/new wave yang keseorangan”.

Selain MacAlister Road yang menjadi syurga mencari bahan bacaan untuk mendalami apa yang saya minati, saya mula mengumpul sedikit duit sekolah (dan kemudianya elaun pengajian kolej) untuk membeli majalah (atau lebih tepat lagi dalam bentuk akhbar hiburan) seperti NME (New Musical Express) dan Sounds di sebuah kedai mamak yang menjual majalah import di sebatang lorong berhampiran Penang Road. Saya sudah lupa nama jalan itu tetapi setiap kali pulang dari kolej, di situlah tempat membeli akhbar hiburan tersebut.

Idea-idea radikal

Saya lebih teruja dengan NME kerana kelainannya pada masa itu. Sejak Margaret Thatcher menjadi Perdana Menteri Britain pada 1979, anak muda memberontak menentang dasar kapitalismenya dengan menyuarakan sosialisme dan anarkisme. Ia juga salah satu punca meletusnya semangat punk, walaupun asal-asul genre itu sebenarnya memang gaya dan fesyen.

NME yang terbit sejak tahun 1950-an menjadi radikal sepanjang 1980-an. Sehinggakan pemimpin pembangkang Parti Buruh, Neil Kinnock yang diwawancara majalah itu, menjadi hiasan gambar muka depan.

Ia juga menggerakkan artis-artis progresif dan kiri seperti Billy Bragg, Paul Weller (yang memimpin kumpulan The Jam) dan Jimmy Sommerville daripada The Communards yang juga aktivis LGBT untuk membawakan kolektif muzik atas nama Red Wedge bagi menumbangkan regim Thatcher dan Parti Konservatif.

Bagi saya, itu adalah antara pengaruh penting yang menjiwai diri dalam penentuan pegangan politik sewaktu diri mula menuju arah dewasa. Sayangnya dunia muzik Malaysia hanya membantu saya menikmati irama dan lagu. Memang ada juga kesan sedikit politiknya tetapi tidak begitu mendalam seperti melalui lagu-lagu kumpulan Kembara. Mungkin anda juga melalui pengalaman yang ada persamaannya. Malah, apa yang anda harungi mungkin jauh lebih hebat.

Kepala lembu tanduk seladang

Tetapi tentunya tidak adil jika hanya muzik sahaja yang dikatakan mempengaruhi diri saya. Sebenarnya di bangku sekolah lagi saya sentiasa tertarik dengan logo sebuah parti yang nampak seperti kepala lembu yang berlatarbelakangkan warna merah. Garang sekali wajahnya. Masa itu umur saya sekitar 13 tahun. Malah, saya melukiskan logo itu pada beg sekolah yang diperbuat daripada kanvas. Bangga sekali.

Kemudian saya mendapat tahu logo itu bukan kepala lembu. Ia sebenarnya seladang atau banteng, iaitu sepsis haiwan yang hidup berkumpulan dan bersatu-padu menentang mana-mana pemangsa yang cuba menyerang kumpulan tersebut.

Setidak-tidaknya itulah penjelasan daripada orang Partai Sosialis Rakyat Malaya atau PSRM yang saya kenali pada akhir 1970-an dan awal 1980-an.

Sekurang-kurangnya apabila bertemu muzik yang keras nadanya serta garang liriknya, ia seperti ada kena dengan semangat seladang tersebut. Namun, saya tidak berterusan menjiwai politik kiri pada era dewasa. Krisis dalaman diri serta faktor-faktor luaran telah membawa saya ke ruang kanan di suatu ketika, dan memang saya rasa malu dan bersalah, tetapi itu adalah asam garam kehidupan. Setidak-tidaknya saya kini tahu apa yang diperjuangkan di sebelah kanan.

Kini di pertengahan usia, saya sekadar di jalan tengah, dan saya juga tahu berdiri di tengah jalan boleh dilanggar lori. Tetapi ia adalah risiko dalam menerima realiti kehidupan. Memang pedih tetapi ia perlu dilalui.

Namun ia tidak bermakna saya meninggalkan perjuangan progresif. Ia kekal di dalam jiwa. Asas yang ada sejak saya mengenali apa itu punk, seladang PSRM, dan nama-nama seperti Kassim Ahmad, Ahmad Boestamam dan sang tokoh Soekarno, sentiasa tersemat di hati – walaupun semua itu berada di era yang lain, di dunia yang berbeza. – 28 Julai, 2017.

* Wan Hamidi Hamid merupakan wartawan veteran yang mempunyai minat mendalam terhadap muzik rock.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen