SPEAKER Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof menangguhkan usul dari Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin untuk merujuk Bung Mokhtar Radin kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen ke persidangan Dewan Rakyat yang akan datang.
Ariff berkata ini memandangkan ahli Parlimen Kinabatangan itu bersetuju meminta maaf kerana menggunakan perkataan kasar di Dewan Rakyat ketika sesi perbahasannya pada 7 Ogos lalu.
“Saya menerima permohonan daripada YB menteri perumahan dan kerajaan tempatan supaya usul yang menteri di nombor 5 Aturan Mesyuarat hari ini ditangguhkan ke mesyuarat akan datang kerana difahamkanYB Kinabatangan bersetuju untuk meminta maaf atas keterlanjuran beliau menggunakan kata-kata kurang sopan ketika sesi perbahasan hari Selasa, 7 Ogos, 2018.
“Bagaimanapun, YB Kinabatangan memohon kebenaran meninggalkan majlis mesyuarat atas urusan yang mendesak dan berjanji membuat permohonan maaf secara terbuka di dalam Dewan pada mesyuarat akan datang,” katanya sebelum menangguhkan mesyuarat pertama Dewan Rakyat di Parlimen hari ini.
Terdahulu hari ini, Bung yang merupakan ahli Parlimen lima penggal itu mempersoalkan tindakan kerajaan yang mengusulkan beliau dihadapkan kepada jawatankuasa tersebut.
Ini kerana katanya, beliau telah memohon maaf serta menarik semula perkataan kasar F*** you yang digunakan setelah diberi amaran oleh Ariff dan diputuskan tiada tindakan yang diambil terhadapnya.
Dalam insiden itu, Bung didapati mencarut kepada Willie Mongin (Puncak Borneo) ketika perbahasan Rang Undang-undang Cukai Jualan dan Perkhidmatan. – 16 Ogos, 2018.
Komen