
PENANGGUHAN terakhir mengenai siapa yang miliki Good Star Ltd dari Laporan Akhir Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dilakukan kerana ia bukan untuk orang awam, kata bekas pengerusi PAC Hasan Ariffin.
“Good Star tidak boleh dibuktikan milik Jho Low ketika itu,” kata Hasan ketika perbahasan usul untuk PAC dan Ketua Audit Negara membuka semua siasatan 1MDB hari ini.
“Maklumat daripada Bank Negara Malaysia adalah berdasarkan risikan dan ia tidak boleh disebar kepada umum. Ia juga tidak mengesahkan Good Star milik Low,” katanya yang juga ahli Parlimen Rompin.
Hasan berkata demikian sebagai maklum balas terhadap Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang berkata Parlimen perlu membuka semula siasatan PAC terhadap 1MDB kerana siasatan sebelum ini adalah cacat.
Lim berkata Hasan menangguhkan fakta daripada laporan akhir tanpa pengetahuan ahli PAC lain dan menyimpan surat BNM daripada mereka.
“Saya tidak sertakan surat BNM (dalam laporan) itu bagi melindungi integriti PAC,” kata Hasan, yang kelihatan gelisah ketika perbahasan itu.
Walaupun surat BNM bocor dan disiarkan oleh Wall Street Journal, Hasan terus menafikan Low pemilik Good Star.
Menurut WSJ, kira-kira AS$700 juta dipindahkan kepada Good Star pada 2009.
Pada waktu itu, bekas ahli PAC Tony Pua (PH-Damansara) bertanya Hasan mengapa beliau mengarahkan penangguhan pada saat akhir daripada Laporan PAC yang dikeluarkan pada 7 April 2016 tanpa berunding dengan ahli PAC lain.
“Surat (mengenai pemilikan Good Star) datang sehari sebelum Laporan PAC dicetak dan sejak itu katanya maklumat adalah berdasarkan risikan sahaja kita perlu ubah laporan,” kata Hasan.
“Bagaimana nak maklumkan kepada ahli PAC lain bila saya hanya terima surat berkenaan sehari sebelum dicetak,” tambahnya.
Sebagai balasan, Pua berkata PAC mahu menyoal Low dan bekas perdana menteri Najib Razak yang merupakan pengerusi 1MDB namun dihalang oleh Hasan dan ahli PAC dari Barisan Nasional yang lain.
“Sebelum Rompin dilantik kami mahu soal Jho Low. Tetapi pada pertemuan pertama, beliau berkata tidak perlu untuk temu bual Jho Low.
Pua berkata Hasan turut menghalang cubaan PAC untuk menyoal Najib, yang menandatangani banyak dokumen 1MDB.
“Beliau kata Najib tidak terlibat,” kata Pua.
Pada masa itu, Hasan berkata lebih baik rujuk kepada ketidaksepakatan mereka untuk Jawatankuasa Pemilih kerana tidak guna untuk bertikam lidah di Parlimen.
“Saya tidak minta untuk soal Jho Low kita tidak dapat kesan beliau. Jika polis tidak dapat kesan beliau, apatah lagi kita? Begitu juga dengan penyiasat antarabangsa, kita perlu ikut protokol dan tidak boleh terlibat,” kata Hasan.
Ahli Parlimen Rompin itu bagaimanapun tidak menjawab mengapa Najib tidak dipanggil untuk beri keterangan dalam prosiding PAC. – 16 Ogos, 2018
Komen