Kos sebenar hapus tol bukan RM400 bilion, kata Tony Pua


Yasmin Ramlan

Kerajaan memberi jaminan bahawa kos sebenar untuk memansuhkan bayaran tol lebuh raya tidak akan mencecah angka RM400 bilion. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Ogos, 2018.

PEGAWAI khas kepada menteri kewangan, Tony Pua memberi jaminan bahawa kos sebenar untuk memansuhkan bayaran tol lebuh raya tidak akan mencecah angka RM400 bilion.

Pua berkata rancangan kerajaan untuk memansuhkan tol itu hanya akan melibatkan bayaran pampasan kepada pemegang konsesi dan tidak akan melibatkan kos sebanyak itu.

Bagaimanapun katanya, kerajaan masih belum bercadang untuk berbuat demikian.

“Angka yang kita gunakan jika kita ambil alih tol konsesi. Buat masa ini kita tiada rancangan untuk buat begitu.

“Tapi kalaulah kita ambil alih konsesi tol ini, kita akan bayar pampasan ikut kadar yang tertakluk pada kadar yang termaktub dalam kontrak iaitu kos bina lebuh raya, tidak termasuk keuntungan masa depan.

“Oleh sebab itu, jumlah yang diperlukan untuk mengambil alih itu tol itu tidak akan dekat dengan RM400 bilion,” katanya kepada pemberita di Bangunan Parlimen hari ini.

Beliau berkata angka RM400 bilion yang disebut oleh Menteri Kerja Raya Baru Bian pada Isnin lalu meliputi pampasan konsesi dan kehilangan pendapatan akibat penghapusan tol.

“Angka RM400 bilion itu angka kerajaan yang lalu ambil kira pampasan konsesi termasuk keuntungan masa depan,” katanya.

Baru pada Isnin lalu berkata kerajaan akan mengekalkan tol sehingga ekonomi pulih, kerana memerlukan pendapatan RM400 bilion daripada kutipan tol.

Penjelasan itu mendapat kritikan bekas perdana menteri Najib Razak yang mendakwa ia bertentangan dengan kenyataan Pua pada 2009 bahawa kos untuk memansuhkan tol hanyalah RM25 bilion. – 16 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen