Dewan Rakyat mansuh Akta Anti Berita Tidak Benar


Yasmin Ramlan

Dewan Rakyat hari ini meluluskan sebulat suara Rang Undang-undang bagi pemansuhan Anti Berita Tidak Benar 2018. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Ogos, 2018.

RANG Undang-undang bagi pemansuhan Anti Berita Tidak Benar 2018 diluluskan sebulat suara untuk bacaan kali ketiga selepas dibawa ke peringkat jawatankuasa hari ini.

Pemansuhan akta yang menyekat kebebasan bersuara itu diluluskan dengan undian suara pada hari terakhir persidangan Dewan Rakyat untuk sesi kali ini.

Sewaktu perbahasan yang berlangsung kira-kira tiga jam hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin berkata pemansuhan akta itu tidak akan menyebabkan berita tidak benar terus tersebar.

Katanya, banyak lagi undang-undang lain yang berkuat kuasa untuk mengekang sebaran berita tidak benar.

Beliau berkata pemansuhan Akta Berita Tidak Benar itu sebaliknya akan mengurangkan beban kerja pihak berkuasa dan kerajaan.

Akta itu hanya digubal untuk melindungi kerajaan Barisan Nasional sebelum ini, katanya.

“Kalau nak jimatkan perbelanjaan kerajaan, kita tidak perlu banyak undang-undang, sebab itu BN bawa usul ini untuk mereka gunakan Parlimen untuk selesaikan masalah, undang-undang ini bukannya melindungi rakyat tetapi mereka,” kata Hanipa.

Akta itu mentafsirkan berita tidak benar sebagai sebarang berita, maklumat, data dan laporan yang sebahagian atau sepenuhnya palsu, sama ada disiarkan dalam bentuk rencana, visual, rakaman audio atau bentuk lain.

Undang-undang tersebut memperuntukkan denda maksimum sehingga RM500,000 dan penjara maksima selama 10 tahun.

Jika kesalahan berterusan selepas sabitan terdahulu, denda selanjutnya ialah RM3,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan. – 16 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen