Polis serah kertas siasatan kes kahwin budak 11 tahun pada Jabatan Peguam Negara


Bede Hong

Gambar menunjukkan seorang lelaki melangsungkan perkahwinan dengan seorang budak perempuan berusia 11 tahun sebagai isteri ketiganya, tular di media sosial sejak Jumaat lepas setelah perkara itu dikongsikan isteri kedua lelaki terbabit. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Ogos, 2018.

POLIS sudah melengkapkan siasatan berhubung perkahwinan seorang lelaki berusia 41 tahun dari Kelantan dengan budak warganegara Thailand berusia 11 tahun.

Kertas siasatan itu sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

DSP Soraja Egamparam, ketua unit D11 di Bukit Aman, bagaimanapun, enggan memberitahu bila siasatan itu disiapkan.

Beliau berkata tindakan lanjut akan diumumkan Peguam Negara Tommy Thomas.

Che Abdul Karim Che Abdul Hamid, 41, yang bekerja sebagai peniaga getah di Gua Musang, menikahi budak 11 tahun sebagai isteri ketiganya.

Pernikahan itu berlangsung di selatan Thailand pada 19 Jun.

Lelaki itu didenda sebanyak RM1,800 minggu lalu oleh Mahkamah Syariah Gua Musang kerana bernikah dan berpoligami tanpa kebenaran mahkamah.

Berita mengenai perkahwinan kanak-kanak itu tular selepas isteri kedua Karim bersuara di media sosial.

Aktivis menggesa agar Karim didakwa mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak Kanak 2017.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan sebatan tidak kurang dua kali jika sabit kesalahan.

Soraja berkata bukti yang dikumpulkan termasuk rekod pemeriksaan kesihatan.

“Setiap sudut dan setiap ruang siasatan telah dijalankan oleh polis dan kertas siasatan sudah diserahkan kepada peguam negara,” kata Soraja di luar Persidangan Undang-undang Antarabangsa Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.

“Jadi jika anda ingin bercakap mengenai antunan kanak-kanak dan kesalahan lain, ia sudah disiasat. Kami mendengar segala khabar angin. Kami mendengar kesemua (maklumat dan dakwaan kesalahan) di media sosial yang dilakukannya, seperti ‘saya berminat untuk mengahwini kanak-kanak berumur tujuh tahun.’”

Berhubung penguatkuasaan terhadap pornografi kanak-kanak, Soraja memberitahu hadirin bahawa polis tidak memantau laman web lucah.

“Apa yang kita lakukan adalah mendapatkan maklumat (berhubung pemangsa). Bagaimana kita lakukannya adalah dengan bekerjasama dengan SKMM (Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia) dan pihak lain bagi mendapatkan maklumat sebelum membuat siasatan lanjut.”

“Kita tidak memantau laman web lucah tetapi kita mempunyai alat untuk mendapatkan maklumat perangkai padan (P2P) sebelum melakukan tangkapan ataupun rampasan atau apa sahaja.”

Beliau menambah kadar sabitan untuk kes seksual ke atas kanak-kanak amat rendah ekoran pihak keluarga mahu menggugurkan kes.

“Sehingga 80% kes seksual adalah melibatkan keluarga, termasuk bapa tiri atau abang. Kadang-kadang ahli keluarga akan menulis kepada peguam negara untuk menarik kes itu. Kadang-kadang keluarga sendiri yang menyembunyikan bukti.” – 16 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen