Pencapaian PH 100 hari, PAS beri markah 'D'


Yasmin Ramlan

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pencapaian kerajaan PH sejak 9 Mei lepas berhubung 10 janjinya dalam masa 100 hari, kalau diberikan markah tidak lebih 30 per 100. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Ogos, 2018.

PAS menyamakan kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji 100 hari jadi kerajaan seperti pelajar sekolah yang gagal dalam peperiksaan dan perlu mengulang semula kertas ujian.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pencapaian kerajaan PH sejak 9 Mei lepas berhubung 10 janjinya dalam masa 100 hari, kalau diberikan markah tidak lebih 30 per 100.

“PH hanya berjaya gred D lah, tengah ulang balik kertas peperiksaan tersebut,” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen hari ini.

Tuan Ibrahim berkata kerajaan PH hanya berjaya menunaikan dua daripada 10 janji dalam masa 100 hari iaitu caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah dan memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Beliau juga berpendapat janji PH itu dibuat tanpa kajian yang teliti sehingga menyebabkan ia gagal ditunaikan dalam tempoh yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim mempersoalkan beberapa perkara yang diberikan perhatian oleh PH yang tiada dalam manifesto yang dikemukakan kepada rakyat seperti cadangan mewujudkan kereta nasional ketiga dan menganjurkan semula acara Grand Prix Formula 1.

“Ini bukan keperluan rakyat ketika ini,” katanya.

Sementara itu, beliau yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian yakin pengundi yang mula sedar kegagalan PH akan menunjukkan sokongan mereka kepada pembangkang dalam dua pilihan raya kecil (PRK) tidak lama lagi bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Balakong dan Seri Setia, kedua-duanya di Selangor.

“Kebetulan tamat tempoh janji 100 hari PH bersamaan penamaan calon PRK DUN Balakong dan Seri Setia. Kita akan nilai sejauh mana rakyat menilai janji 100 hari yang diterjemahkan dalam kotak undi,” katanya. – 16 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen