SEKUMPULAN ketua kampung Orang Asli atau tok batin mendesak kerajaan negeri Kelantan memusnahkan sekatan di Gua Musang yang dipasang oleh golongan belia mereka sendiri.
Dalam perkembangan terbaru konflik isu hak tanah membabitkan masyarakat Orang Asli dan pemilik ladang di Kelantan itu, ketua kampung terbabit mendakwa golongan belia mereka dipergunakan oleh NGO yang ada agenda tertentu.
Awin Pedik, jurucakap bagi kumpulan 10 ketua kampung atau tok batin itu berkata sekatan berkenaan menjejaskan rutin harian masyarakat suku Temiar di kawasan Kuala Betis.
“Kami setuju dengan beberapa dakwaan oleh golongan belia kami, tetapi kami tolak kaedah yang mereka buat seperti meletakkan sekatan itu,” kata Awin ketika dihubungi oleh The Malaysian Insight.
“Kita patut bawa masalah ini ke mahkamah atau berunding dengan kerajaan negeri. Bukannya meletak sekatan dan menghalang orang lalu lalang. Itu gengsterisme.”
Kenyataan tok batin itu kurang seminggu selepas belia Orang Asli dan aktivis dari Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), dan NGO sekutu mereka menghantar memorandum dan bertemu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya.
Awin berkata kumpulan tok batin menghantar memorandum mereka kepada kerajaan negeri Kelantan hari ini, mendakwa sekatan selama enam bulan itu turut menjejaskan pendapatan penduduk kampung yang lain.
Ini kerana sekatan di Cawas, Kaleg dan Kuala Wok itu mengganggu operasi penoreh getah, dan pekerja Orang Asli di ladang nanas dan durian di kawasan sekitar kampung itu.
“Saya tahu golongan belia terbabit. Saya anggap mereka seperti cucu saya. Tetapi mereka tidak sedar bahawa mereka dihasut dan dipergunakan oleh NGO luar,” kata Awin.
“Kami mahu pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap NGO yang menjadikan belia kami seperti ekstremis.”
Dianggarkan terdapat 18 kampung Orang Asli di hutan simpan Balah yang disusun di bawah 10 pos. Awin ialah tok batin untuk Pos Bihar, di mana kampung itu turut tersekat laluannya kerana ada sekatan.
Dalam memorandum yang dilihat The Malaysian Insight, kumpulan tok batin itu menamakan peguam Siti Kassim dan Sharifah Sabrina Syed Agil sebagai pihak yang bertanggungjawab “menghasut” belia JKOAK.
Siti Kassim ialah pengerusi jawatankuasa Orang asli di Majlis peguam yang mewakili aktivis Temiar sementara Sharifah Sabrina ialah presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka).
Peka yang membantu menganjurkan perjalanan 10 aktivis berkenaan ke Putrajaya untuk bertemu Dr Mahathir pada 10 Ogos lalu.
Awin dan sembilan lagi tok batin bertemu Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakub hari ini di mana mereka menyerahkan senarai tuntutan.
Perladangan itu sah
Kuala Betis sejak sekian lama menjadi tapak konflik antara aktivis Temiar dan pembalak dan peladang untuk akses ke hutan Balah.
Aktivis JKOAK mendakwa pembalak dan syarikat perladangan memusnahkan tanah mereka yang menjadi sumber makanan, air bersih dan ubat, malah penting untuk identiti dan agama mereka.

Peladang dan pembalak pula mendakwa mereka mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri Kelantan yang ditadbir oleh PAS untuk beroperasi di situ.
Dalam memorandum mereka hari ini, tok batin menyokong kehadiran syarikat perladangan kerana ia memberi sumber pendapatan kepada kampung.
“Perladangan itu tidak menceroboh tanah Orang Asli. Mereka tidak memusnahkan kebun Orang Asli atau mengambil apa-apa milik kami.
“Mereka dapat tanah daripada kerajaan Kelantan. Kerajaan negeri luluskan permit mereka. Jadi kenapa kita perlu campur tangan?,” kata Awin.
Bertentangan dengan dakwaan bahawa kerajaan negeri secara sembunyi mencuri tanah adat Orang Asli, Awin berkata kerajaan negeri mengiktiraf “tanah saka” iaitu tanah yang diwariskan dalam keluarga Orang Asli.
“Apa yang sesetengah Orang Asli tuntut ialah tanah lain yang terletak di bawah kerajaan negeri.”
Awin berkata tok batin mengadakan pertemuan dengan menteri besar hari ini yang berjanji untuk mengkaji tuntutan mereka.
“(Ahmad) berjumpa kami dengan baik. Kami minum teh di pejabatnya dan beliau janji untuk bantu dan layan Orang Asli, sama seperti masyarakat Kelantan yang lain,” katanya. – 16 Ogos, 2018.
Komen