PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata yang kerajaan Pakatan Harapan boleh melunaskan janji pilihan rayanya dalam tempoh sepenggal jadi kerajaan.
Bagaimanapun, beliau memberi amaran yang ada janji akan mengambil masa lebih lima tahun.
Ketika kritikan mula timbul kerana kesukaran kerajaan melunaskan 10 janji dalam tempoh 100 hari seperti yang diisytiharkan untuk takluk Putrajaya, Dr Mahathir berkata apa yang boleh dilakukan kerajaan sekarang adalah memulakan proses perubahan yang dijanjikan.
“Tetapi kami akan ambil sedikit masa untuk penuhinya.
“Malah dalam lima tahun pun kami tak berapa pasti (dapat penuhi). Tetapi, kebanyakan masalah akan dapat diselesaikan dalam tempoh itu,” katanya selepas melancarkan Hospital Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur.
Pakatan menyempurnakan 100 hari mentadbir esok.
Dr Mahathir yang juga pengerusi PH berkata, manifesto itu ditulis berdasarkan maklumat yang mereka kumpul sebelum mengambil alih Putrajaya selepas menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Manifesto itu ditulis berdasarkan apa yang kami tahu dilakukan kerajaan (terdahulu).
“Tetapi kami mendapati situasi sebenarnya sangat, sangat buruk kerana lebih banyak wang dipinjam.”

Daripada 10 janji pilihan raya yang diberikan untuk dipenuhi dalam tempoh 100 hari berkuasa, PH hanya berjaya melunaskan dua daripadanya.
Enam janji sedang diusahakan walaupun pelaksanaannya mengambil masa kerana pelbagai kajian perlu dilakukan atau perlunya pindaan undang-undang.
Dua lagi janji pula masih belum mempunyai kemajuan kerana selepas diteliti lebih banyak masa, dana dan penilaian perlu dilakukan bagi mengkaji kebolehlaksanaannya.
Dr Mahathir berkata jentera kerajaan juga sudah terjejas kerana pentadbiran terdahulu.
“Kami tak boleh bekerja dalam persekitaran yang tidak begitu berdedikasi kepada apa yang kami mahu lakukan.
“Jadi kami perlu pindahkan orang. Semua ini halang progress. Juga terdapat perkara yang perlu diluluskan Parlimen, dan ambil masa untuk melalui (proses) Parlimen.
“Kami perlu gubal undang-undang dan pelbagai lagi (untuk laksana perubahan).” – 16 Ogos, 2018.
Komen