Menteri kesihatan nafi Dr Ilyani dipindah ke JPA Putrajaya


Yasmin Ramlan

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad menafikan Dr Nur Ilyani Mohamed Nawawi disekat daripada menjalankan tugas di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Ogos, 2018.

MENTERI Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad menafikan Dr Nur Ilyani Mohamed Nawawi disekat daripada menjalankan tugas di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.

Beliau turut menafikan Dr Nur Ilyani telah dipindahkan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Putrajaya dalam tempoh 24 jam.

“Tak benar dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan keluarkan kenyataan.

“Anda dalam media sangat bertangunggjawab mengetengahkan fakta-fakta yang benar dan bertangungjawab serta memurnikan keadaan,” katanya kepada pemberita pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Dr Nur Ilyani dikatakan bakal berdepan tindakan tatatertib selepas ada pihak tertentu mengadukannya kepada Biro Pengaduan Awam (BPA) selepas membuat ulasan mengenai isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Menerusi Facebook pada 6 Ogos lalu, doktor berkata dirinya tidak mengiktiraf perlakuan seks bebas dan songsang yang sinonim dengan golongan tersebut.

Hari ini, seorang pengguna Facebook Azman Hashim menerusi tulisannya mendakwa Dr Nur Ilyani disekat daripada bertugas di Hospital Raja Perempuan Zainab II.

Azman berkata Dr Nur Ilyani telah dipindahkan dalam tempoh 24 jam ke JPA Putrajaya.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly turut mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa kenyataan dibuat Dr Nur Ilyani adalah pandangan peribadinya.

“Saya dah terangkan dia membuat kenyataan atas peribadi dia, telah saya nyatakan,” katanya. – 16 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen