AHLI Parlimen selama lima penggal Bung Mokhtar Radin mempersoal usul untuk menghadapkan beliau kepada Jawatankuasa Pilihan Khas berhubung hujah kontroversinya di Dewan Rakyat pada 7 Ogos lalu.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata ini kerana beliau sudah memohon maaf serta menarik semula perkataan kasar yang digunakannya itu selepas diberi amaran oleh Speaker Mohamad Ariff Md Yusof.
“Saya merasakan janggal sekali di Dewan Rakyat hari ini sebab kerajaan sendiri tidak mengiktiraf keputusan Speaker. Kerajaan nak melangkaui kuasa speaker dalam Dewan Rakyat ketika ini.
“Tidak boleh sewenang-wenangnya sebuah kerajaan, mana-mana pihak pun melangkaui keputusan speaker sehingga tidak menampakkan integriti Dewan Rakyat itu sendiri,” katanya di lobi Parlimen hari ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin dijangka akan membentangkan usul untuk merujuk Bung kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen hari ini.
Bung dijangka berdepan penggantungan enam bulan kerana mencarut “F… you” kepada Willie Mongin (Puncak Borneo-PH) ketika perbahasan Rang Undang-Undang Cukai Jualan dan Perkhidmatan.
“Dan ini pada saya tak adil pada diri saya sendiri sebab banyak juga wakil-wakil rakyat daripada kerajaan mengeluarkan perkataan-perkataan yang tidak senonoh, yang tidak sopan tetapi tidak pula diambil tindakan
“Kalau betul kerajaan nak ambil tindakan, pungut semua dalam hansard mana-mana wakil rakyat yang mengeluarkan ungkapan yang tidak baik dan buat usul sama-sama. Jangan pilih kasih, jangan berat sebelah.
“Mentang-mentang saya ni terlalu lantang dan bukan di pihak mereka, mereka buat sesuka hati,” katanya yang mendakwa kerajaan cuba menidakkan haknya di Dewan Rakyat. – 16 Ogos, 2018.
Komen