PUTRAJAYA harus terlebih dahulu membuktikan bahawa wang yang digunakan Low Taek Jho atau Jho Low untuk membeli jet adalah wang yang dicuri daripada Malaysia, kata Dr Mahathir Mohamad.
Perdana menteri berkata, jika wang itu dicuri daripada Malaysia, maka jet berkenaan adalah hak milik negara.
“Kami akan cuba untuk dapatkan semula jet berkenaan daripada Singapura.
“Sama juga seperti bot (kapal pesiar mewah Equanimity),” katanya selepas melancarkan Hospital Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur.
Singapura sebelum ini dilaporkan berkata Malaysia masih belum menuntut agar jet peribadi yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) itu dikembalikan. Pesawat itu kini berada di Lapangan Terbang Seletar, Singapura.
Malaysia sedang berusaha untuk merampas jet berkenaan yang dipercayai milik Jho Low, namun polis Singapura tidak menerima sebarang permohonan rasmi daripada pihak berkuasa Malaysia mengenai tuntutan itu.
Low juga dikehendaki oleh pihak berkuasa Malaysia bagi membantu siasatan tuduhan penipuan dan pengubahan wang haram di syarikat pelaburan negara itu.
Dr Mahathir berkata jet Bombardier Global 5000 itu dikatakan bernilai AS$35 juta (RM143 juta), akan dibawa balik dari Singapura.
Dalam satu kenyataan daripada peguamnya, pelarian itu berkata rampasan terhadap jet peribadinya itu sama seperti “rampasan tidak sah terhadap Equanimity”, perdana menteri akan “mengabaikan proses perundangan yang sedang berlangsung, menjalankan perbicaraan oleh media dan umum, menggunakan tekanan politik dan secara tidak sah mengiktiraf pemilikan aset itu sebelum bukti dibentangkan”.
Low mengeluarkan kenyataan sama terhadap perdana menteri awal bulan ini ketika Indonesia bersetuju menyerahkan kapal pesiar mewah bernilai RM1 bilion yang dirampas di Bali itu kepada Malaysia. Equanimity, bersama jet peribadi itu, antara aset yang didakwa oleh pihak berkuasa Malaysia dan AS, dibeli menggunakan wang dicuri daripada 1MDB. – 16 Ogos, 2018.
Komen