LGBT, Islam marah-marah dan Islam ramah tamah


Mohd Syazreen Abdullah

RIUH isu lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT), terutama apabila Menteri Agama Dr Mujahid Yusof mengarahkan supaya diturunkan dua potret rakyat Malaysia dalam pameran foto di Festival George Town. Kononnya, foto itu mempromosi LGBT. 

Arahan menteri agama mencetuskan kemarahan walaupun sebahagian lain menyokong tindakan beliau. 

Tidak lama selepas itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, kelompok yang marah dengan tindakan kerajaan negeri terhadap perilaku LGBT merupakan individu yang tidak faham dengan erti sebenar kebebasan, dan perjuangan mereka adalah “kebebasan haiwan”.

Namun, pujian harus diberi kepada menteri agama yang cuba meredakan isu buat sementara – mengadakan dialog dengan pengamal LGBT. Di sudut lain, isu tersebut membangkitkan lagi kemarahan kalangan Islam konservatif gara-gara sikap rahmah yang ditonjolkan Mujahid.

Membincangkan LGBT tidak mudah. Malah, tidak ada secara khusus istilah digunakan menunjukkan perilaku terhadap homoseksual dalam Quran. 

Namun, masyarakat kita mudah menghambur kebencian – membakulkan semua LGBT layak dilaknat. Majoriti penganut Melayu Islam menganggap tingkah laku mereka bertentangan dengan ajaran Islam. Lantas, mereka memandang LGBT dengan sorot yang kotor lagi jijik 

Komuniti LGBT bukan sahaja dihina, hak asasi mereka juga dicabut. Buktinya, kewujudan mahupun nasib mereka tidak pernah diambil peduli oleh golongan majoriti. Apatah lagi kisah-kisah penindasan yang terjadi kepada mereka. 

Seperti manusia lain, mereka harus dihormati dan dilayan dengan baik. Mereka tidak boleh dipaksa untuk mengubah orientasi seksual, lebih-lebih lagi memaktubkan mereka sebagai kaum yang dilaknat.

Jelas, perbezaan fitrah tidak perlu sampai merosakkan silaturrahim dan sembarangan memaksa mereka mengubahnya – kerana di sebalik semua itu, hanya Allah sahaja yang tahu kebenarannya.

Wujud sebahagian agamawan lain dengan menampilkan watak lebih progresif, menghulur tangan di samping tetap bersikap eksklusif dalam ‘menerima’ kelompok tersebut. Di balik seruan dakwah supaya tidak menindas kelompok itu, tanpa sedar mereka juga mengasingkan dan memandang rendah kewujudan kelompok LGBT. Contohnya, mengajak mereka bertaubat dan kembali kepada ajaran Islam sebenar mengikut pemahaman agamawan.

Tafsiran lain

Perbincangan tentang LGBT sudah lama dan bersepah dalam tradisi Islam termasuk di nusantara, antaranya karya Ibnu Hazm (Tawq al-Hamamah fi al-Ulfah wa al-Ullaf), Ibnu Khaqan (Qala’id al-Iqyan wa Mahasin al-A’yan) atau Syihabuddin Ahmad al-Tifasyi (Nuzhat al-Albab fi-ma la Yujad fi al-Kitab).

Namun, masyarakat Melayu Islam tetap menganggap perkara itu sesuatu yang tabu dan tidak boleh diterima akal, disokong pula kefahaman agama mengikut tafsiran ulama majoriti seperti mazhab Syafie dan Maliki yang menolak LGBT. 

Sudah pasti, hukum-hakam agama tentang masalah tersebut sudah dianggap beres. Pandangan itu mengukuhkan lagi pendirian kelompok golongan konservatif bahawa pemikiran yang tidak selari dengan agama harus ditentang, juga diasingkan. Maka, perbincangan tentang seksualiti dalam tradisi Islam tidak disambut rancak oleh kelompok agamawan. Tidakkah pelik mengapa wacana seksualiti Islam dinyahkan dari pengetahuan keagamaan dan kebudayaan?

Jadi, dari manakah pemikiran itu muncul?

Seharusnya, kita harus mencairkan pembacaan teks agama yang beku. Menurut sarjana Maghribi, Abid Jabiri, krisis iman dan krisis nalar banyak berlaku dalam dunia pemikiran keagamaan kini. Sebagaimana krisis iman, tafsiran Quran dianggap sempurna berdasarkan pandangan ulama terdahulu. Maka, Islam pada hari ini dipengaruhi nalar yang melihat sisi tafsiran Quran yang kaku. 

Bagi Jabiri, setidak-tidaknya diperlukan sudut pandangan baru terhadap Quran – model relevansi konteks diturunkan (asbab al-nuzul). Contohnya, masyarakat kita mendatangkan dalil menolak kelompok LGBT dengan tafsiran kisah kaum Lut. Dalil itu banyak diguna pakai oleh agamawan untuk menidakkan kelompok LGBT. Ini antara ketidakcermatan dalam membaca teks keagamaan, antaranya adalah al-Naml [27]: 54-58; al-Syu’ara [26]: 160-175, Hud [11]: 77-83.

Sebelum itu, penting untuk kita memahami kelompok LGBT. Wujud perbezaan antara yang disebut orientasi seksual dan perilaku seksual. Orientasi seksual adalah fitrah yang tidak dapat diubah walau apa cara sekalipun. Ini juga mencakupi rasa cinta, sayang, kecenderungan minat dan hubungan seksual. 

Berbalik tentang azab yang menimpa kaum Lut, terdapat tafsiran lain mengatakan bahawa ajaran dakwah Nabi Lut tidak diterima dan ditentang dengan kekerasan.

Allah menimpakan azab yang pedih kepada kaum Lut bukan kerana orientasi seksual mereka, tetapi terhadap bangkangan serta kezaliman perilaku mereka. Perlu diketahui bahawa azab yang ditimpa bukan sahaja hanya kepada kaum Sodom, tetapi bala ditimpa juga pada masyarakat lain. Buktinya isteri Nabi Lut bukanlah seorang lesbian dan tidak melakukan sodomi. Tambahan, keadaan masyarakat pada saat itu menggambarkan perilaku seksualiti, bukannya orientasi. 

Mereka mengamalkan penindasan, kekerasan dan kezaliman yang nyata seperti perilaku sodomi yang melampau. Perbuatan sodomi yang digambarkan itu sebagai tanda protes dan penentangan terhadap ajaran nabi. Sebaliknya, kaum yang dilaknat itu mempunyai kecenderungan seksualiti berlawanan jenis. Buktinya mereka memiliki isteri.

Jelas, kaum Nabi Lut dihukum kerana jenayah yang dilakukan, bukan atas orientasi seksualiti. Ini menunjukkan bahawa semua orang walau bukan kelompok LGBT sekalipun, jika melakukan penindasan dan kerosakan, akan dimurkai Tuhan.

Diskriminasi wacana

Joseph Schacht dalam karya Intoduction to Islamic Law menyebut hukum Islam sebagai lambang pemikiran Islam. Tidak mungkin memahami Islam tanpa memahami hukumnya. 

Walau khazanah peradaban Islam luas tetapi agamawan menyempitkan wacana hukum Islam sekadar bicara hudud, halal-haram dan khilafah. Jarang sekali kita menemukan agamawan ramah berbicara tentang cinta, filsafat, erotika, seni-sastera. 

Tidak mustahil, wujud agamawan bermindakan syariah yang kaku sekadar memuaskan fikah di kepalanya, bukan memahami  naluri tubuh manusia lain.

Kesannya, kelompok LGBT menjadi korban syariatisasi atau proses menerapkan hukum syariat yang sempit, berpunca dari agama yang tertanam dalam pemikiran masyarakat adalah nalar agama yang bersifat sakral. 

Sepatutnya, syariah membangkitkan konsep perdamaian, keadilan, egalitarian tetapi pendekatan mengagamakan politik dan mempolitikkan agama mewujudkan bentuk wacana agama yang jumud, di tengah-tengah konflik budaya yang baharu.

Sebaliknya, melawan projek syariatisasi Islam (puritan) iaitu dengan mempamerkan hukum Islam yang kaya dengan benturan dimensi yang berbagai-bagai tafsir, dapat mencipta inovasi budaya yang rencam. 

Nalar kemunduran berfikir agama tidak hilang selagi kita tidak memperbaharui cara beragama yang inklusif. Demikian masalah tentangan pada hari ini, bukan kesalahan pada agama tetapi orang-orang yang menafsir agama.

Seruan ini penting, kerana segala korban hak asasi dan kebebasan berpunca daripada nalar syariah yang berpaksi pada fikah yang mundur. Segala penindasan dan diskriminasi terhadap perbezaan wacana, agama termasuklah kecenderungan seksual sekali pun, tidak akan mendamaikan malah menjauhkan kehidupan yang sepatutnya kaya dengan keragaman.

Buktinya, pemikiran syariah ini berfikir, mereka akan diazab kerana LGBT walaupun mereka sangat baik dan taat dengan agamanya. Pemikiran diskriminasi itu dibentuk tanpa sedar. Walau tidak bersetuju sekalipun kepada LGBT, kita tidak boleh menghukum tubuh badan mereka sehingga kepada diskriminasi. Ini ditentang agama.

Maka, kita perlu untuk melawan pemikiran syariatiasi – sebuah projek dari pemikiran Islamisme, yang bukan pemikiran Islam. Islam bukan sekadar tentang mencari dosa siapa, pahala apa; sebaliknya memimpin manusia untuk meraih sifat kemanusiaan yang sejagat tanpa wujud bilah diskriminasi. – 16 Ogos, 2018.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen