PULAU Pinang negeri pembangkang pertama mendedahkan barisan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) peringkat negeri, hari ini.
Ia diumumkan lewat petang tadi oleh Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, yang mempengerusikan gabungan pembangkang negeri itu.
Timbalannya ialah pengerusi negeri bagi setiap parti komponen – Mansor Othman (PKR), Chow Kon Yeow (DAP), Dr Mujahid Yusof Rawa (Amanah) dan Marzuki Yahya (Bersatu).
“Pulau Pinang negeri PH pertama di Malaysia. Kami mengalu-alukan ahli terbaru keluarga kami, Bersatu dengan tangan dan hati terbuka.
“Kami sudah kenal lama mereka yang dalam Bersatu, tetapi pada masa itu mereka masih di pihak sebelah sana. Selepas jadi musuh, kami jadi sekutu. Itu memudahkan kami jadi kawan baik,” katanya.
Lim berkata Bersatu yang diasaskan bekas pemimpin Umno seperti Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin bersama PH untuk menentang rasuah dan skandal 1Malaysia Development Berhad.
“Dengan kami bersama, perjalanan ke Putrajaya sepatutnya lebih mudah sekarang,” katanya ketika mengumumkan barisan itu di ibu pejabat DAP Pulau Pinang.
Pengumuman itu dibuat dua minggu selepas kepimpinan PH peringkat kebangsaan mendedahkan majlis kepimpinannya yang dipengerusikan Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir.
Mujahid, yang juga naib presiden Amanah berkata Pulau Pinang memang sentiasa menjadi negeri pertama melancarkan pakatan baharu pembangkang.
“Selepas kita lancarkan pakatan PH pertama di peringkat nasional pada September 2015, ketua menteri (Lim) mengumumkan pelancaran peringkat negeri keesokan harinya.
“Pulau Pinang yang pertama mengisytiharkan versi PH 2015. Hari ini, Pulau Pinang sekali lagi secara rasmi mengisytiharkan PH baharu versi 2017,” katanya.
Pada 201, PH hanya terdiri daripada DAP, PKR dan Amanah iaitu parti serpihan PAS. Pakatan baharu dibentuk selepas Pakatan Rakyat terkubur pertengahan 2015, susulan keputusan PAS untuk memutuskan hubungan dengan DAP.
Selain Kelantan yang diperintah PAS, Selangor juga negeri ditadbir sekutu parti Pakatan Rakyat.
Baru-baru ini, Menteri Besar Selangor Azmin Ali berkata negerinya masih kerajaan Pakatan Rakyat, kerana mereka perlu menghormati mandat rakyat pada pilihan raya umum 2013. Terdapat tiga exco PAS dalam kerajaan Selangor.
Sementara itu, Marzuki berkata bukan mudah bagi empat parti hendak bersatu, kerana mereka berdepan serangan, ancaman dan meletakkan ke tepi ideologi serta kepentingan masing-masing.
Katanya, Bersatu akan bekerja keras dengan sekutunya untuk mendapatkan kerusi Umno dan menewaskan Barisan Nasional (BN) untuk membuka laluan PH ke Putrajaya.
Mansor berkata Umno dan BN pastinya bimbang sekarang kerana mereka tidak pernah menjangkakan PH akan dilancarkan.
Barisan kepimpinan PH Pulau Pinang diputuskan pada mesyuarat rasmi pertamanya 23 Julai dan diluluskan kepimpinan pusat keesokan harinya di mesyuarat di Parlimen.
Pemimpin lain termasuk Wong Hon Wai (setiausaha), Jagdeep Singh Deo (bendahari), Dr Afif Bahardin (ketua Pemuda dan ketua penerangan), Mustapha Kamal (pengarah jentera pilihan raya) dan Lim Siew Khim (ketua sayap Wanita).
PH Pulau Pinang juga menetapkan 2 September untuk mengadakan konvensyen pertamanya di Seberang Prai Arena di Seberang Jaya.
Chow, yang mengetuai jawatankuasa manifesto PH Pulau Pinang berkata konvensyen itu akan menggerakkan pakatan itu bersama dalam persediaannya menghadapi pilihan raya umum. – 27 Julai, 2017.
Komen