Pakatan berdepan tekanan selesaikan masalah tinggalan BN di Bekok


Chan Kok Leong

Tuan tanah di Bekok, Johor menuntut pampasan kerana tanah mereka diambil untuk projek pembinaan jalan masuk bernilai RM9.4 bilion, projek tinggalan Barisan Nasional yang masalah kini ditanggung Pakatan Harapan. – Gambar The Malaysian Insight, 16 Ogos, 2018.

AHAD lepas, pertemuan townhall di pejabat DAP di Bekok, Johor sama seperti yang berlaku sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 lalu tetapi dengan satu perbezaan- pengadu mengharapkan parti yang baharu jadi pemerintah menyelesaikan masalah mereka.

Berpuluh-puluh orang tuan tanah hadir untuk bertemu dengan Adun yang juga Exco Johor Dr S Ramakrishnan untuk mendapatkan pampasan kerana memberikan sebahagian tanah milik mereka kepada kerajaan untuk pembinaan jalan masuk baharu.

Jalan itu perlu dibina kerana jalan sekarang yang dimiliki Keretapi Tanah Melayu (KTM) akan ditutup sebaik sahaja projek jalan berkembar bermula bulan depan.

Salah seorang mereka, Ng Siok See marah kerana terpaksa menyerahkan sebahagian tanahnya untuk pembinaan jalan itu tanpa menerima apa-apa pampasan.

“Ini adalah projek lama (pertama kali dicadangkan pada 2008) tetapi kerajaan Barisan Nasional tidak pernah berunding dengan kami tentang bagaimana untuk menangani masalah jalan selepas membuat keputusan meneruskan projek ini. Masalah ini mereka (BN) yang buat.

“Kami tak salahkan kerajaan baharu, tetapi tiada salahnya (Ramakrishnan) untuk meminta pampasan,” kata Ng yang mewarisi ladang getah dan kelapa sawit seluas 15 hektar daripada ayahnya.

Tuan tanah berusia 55 tahun itu mengakui yang masalah mereka bukanlah berpunca daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH), tetapi beliau masih berharap pentadbir baharu boleh membantu.

“Ini yang kami terpaksa tanggung daripada kerajaan Barisan Nasional,” katanya.

Cadangan jalan berkembar dari Gemas ke Johor Bahru akan melintasi beberapa ladang. Bekok adalah salah satu daripada 11 perhentian yang dicadangkan dalam projek bernilai RM9.4 bilion itu.

Seorang lagi tuan tanah, Wong berkata beliau mengharapkan DAP dan PH menunjukkan keprihatinan mereka terhadap rayuan tuan tanah dan memberikan pampasan kepada mereka.

“Anda kerajaan sekarang. Jadi ia boleh dilakukan dengan segera,” katanya.

Tekanan baharu

Go Chin Chuan, seorang sukarelawan veteran DAP yang turut hadir pada pertemuan itu berkata menjadi kerajaan kini mewujudkan tekanan lebih besar kepada DAP.

“Sebelum ini, rakyat lebih bersimpati bila kita kata kita tak boleh buat apa-apa. Sekarang, susah sebab PH adalah kerajaan,” katanya yang berusia 45 tahun itu.

Bagaimanapun, Go berkata ia adalah “masalah yang baik”.

“Sekurang-kurangnya, kita tahu kita boleh buat sesuatu sekarang.

“Jika kita tak menang, saya tak pasti sama ada kontraktor akan tawarkan untuk bina jalan ini dengan percuma,” katanya merujuk kepada perjanjian dengan YTL Corporation untuk membina jalan itu yang akan mengurangkan hampir separuh masa perjalanan antara ladang dengan bandar Bekok.

“Ini hanyalah mesyuarat pertama. Akan ada banyak lagi kerana Bekok ada banyak sungai dan projek itu akan melalui banyak ladang,” katanya.

Selepas pertemuan itu, Ng keluar bersama suaminya dan borang keizinan dan berharap tuan tanah lain juga bersetuju memberikan sebahagian tanah mereka untuk pembinaan jalan itu.

Ng berkata walaupun pengundi gembira menyingkirkan kerajaan lama, beliau mengharapkan DAP dan PH untuk terus gigih buat kerja.

“Tetapi sekarang mereka kena selesaikan masalah ini dahulu. Kami faham ia masalah legasi tetapi kami akan terus beri tekanan kepada kerajaan baharu,” tambahnya.

Johor adalah salah satu daripada lima negeri (empat lagi adalah Kedah, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka) yang jatuh kepada PH pada 9 Mei lalu. Ini kali pertama Melaka, Negeri Sembilan dan Johor menyingkirkan BN daripada pentadbiran negeri.

Pada PRU14 lalu, PH menang 18 daripada 26 kerusi Parlimen dan 36 daripada 56 kerusi negeri di Johor yang selama ini dianggap kubu kuat BN. Berbanding 2013, PH hanya menang lima kerusi Parlimen dan 18 kerusi negeri. – 16 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen