Pekerja berumur 55 tahun ke atas perlu mencarum Perkeso


Muzliza Mustafa

PEKERJA yang berumur 55 tahun dan ke atas masih perlu mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sehingga mereka berumur 60 tahun, kata Menteri Sumber Manusia Richard Riot Jaem hari ini.

Richard berkata, mereka layak menerima pampasan sama seperti pekerja lain sekiranya sakit atau terlibat dalam kemalangan di tempat kerja.

Bagaimanapun katanya, bagi mereka yang baru sahaja diambil bekerja dan tidak pernah mencarum dengan Perkeso sebelum ini dikecualikan.

“Hanya majikan yang perlu mencarum,” kata Richard.

Menteri itu menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen Tebrau Khoo Soo Seang di Parlimen hari ini.

“Dalam pindaan yang dibuat dalam Akta Keselamatan Sosial Pekerja, mereka yang berada dalam had umur itu perlu mencarum sehingga bersara pada umur 60 tahun. Mereka dilindungi di bawah skim bencana pekerjaan dan faedah hilang keupayaan kekal.”

Beliau turut menunjukkan statistik permohonan bersara yang ditolak Perkeso dan sebab-sebab ia ditolak.

Sebanyak 6,113 permohonan bagi skim bencana pekerjaan ditolak pada tahun ini berbanding 7,780  pada tahun lepas sementara permohonan bagi faedah hilang keupayaan kekal meningkat kepada 11,564 tahun ini berbanding 15,130 pada tahun lepas. 

Permohonan ini ditolak kerana pemohon tidak diiktiraf sebagai pekerja di bawah akta itu.

“Sebab lain ialah kemalangan yang berlaku di luar waktu bekerja tidak boleh diklasifikasikan sebagai bencana pekerjaan,” katanya. – 27 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen