Hishamuddin Rais disoal siasat kali kedua hina Agong


Alfian Z.M. Tahir

Hishamuddin Rais dipanggil polis untuk kali kedua hari ini dalam siasatan menghina Sultan Muhammad V, selepas dipanggil kali pertama Jun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2018.

AKTIVIS sosial ternama, Hishamuddin Rais hari ini disoal siasat polis untuk kali kedua atas tuduhan menghina Yang di Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Beliau pertama kali dipanggil untuk soal siasat Jun lalu, tetapi penulis dan pembikin filem itu memberitahu penyiasat yang blognya digodam.

Bercakap kepada wartawan, Hishamuddin yang merupakan bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berkata soal siasat hari ini juga berkaitan dengan kes Jun lalu.

“Hari ini adalah kesinambungan kes saya Jun lepas. Saya masih disiasat di bawah Akta Hasutan dan akta komunikasi,” katanya. 

Mengulas lanjut, Hishamuddin meluahkan kekecewaannya terhadap Pakatan Harapan kerana kerajaan terkini masih belum memansuhkan Akta Hasutan. 

Aktivis itu mengesahkan beliau sedia berkempen menentang kerajaan kerana gagal menunaikan janjinya untuk memansuhkan undang-undang itu. 

“Saya kecewa kerana saya masih disiasat di bawah undang-undang itu. Undang-undang yang sepatutnya dimansuhkan sebaik sahaja PH mengambil alih Putrajaya. 

“PH tidak serius untuk menamatkan undang-undang itu, saya sedia turun ke jalan raya untuk memaklumkan kepada umum kita perlu menamatkan Akta Hasutan,” katanya. 

Pada Jun, Hishamuddin menafikan membuat posting hasutan di blognya mengenai Yang di-Pertuan Agong. 

Beliau menjelaskan blogya digodam. 

“Saya menafiikan tuduhan ini. Saya jelaskan blig saya digodam. Walaupun lima hingga enam hari sebelum PRU14, blog saya digodam dan saya tidak boleh mengaksesnya selama tiga hari. 

“Saya sudah maklumkan kepada polis saya sanggup kembali dan beri penjelasan berhubung blog saya digodam jika perlu,” katanya sebelum ini. 

Ini susulan daripada lima NGO Islam di Pahang membuat laporan polis terhadap Hishamuddin yang mendakwa beliau memuat naik artikel hasutan terhadap Agong. – 15 Ogos, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen