Kebimbangan berhubung isu kaum meningkat, menurut kajian 


Chan Kok Leong

Kajian itu juga menunjukkan 82% rakyat Malaysia berpuas hati dengan keputusan pilihan raya.– Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2018

KEBIMBANGAN berhubung isu kaum meningkat selepas pilihan raya umum 9 Mei yang menyaksikan Pakatan Harapan membentuk kerajaan, menurut kajian yang dijalankan Merdeka Centre for Opinion Research.

Kajian berkenaan, yang dijalankan dari 7 hingga 14 Ogos, menunjukkan kebimbangan mengenai perlindungan hak Melayu dan layanan yang adil kepada semua kaum meningkat dari 12% pada April kepada 21% pada Ogos.

Kajian melibatkan 1,160 responden seluruh negara itu mendapati isu melibatkan kaum mempunyai tarikan dalam kalangan pengundi Melayu.

Berbanding 62% bukan Melayu yang merasakan kerajaan baharu melindungi hak kaum mereka, hanya 50% Melayu yang ditinjau mempunyai pandangan yang sama.

Antara masyarakat di Malaysia Timur, hanya 45% merasakan kerajaan baharu melindungi hak mereka.

Namun keseluruhannya, lebih 69% menyatakan mereka berpuas hati dengan keadaan keharmonian etnik antara kaum.

Kajian itu juga menunjukkan 82% rakyat Malaysia berpuas hati dengan keputusan pilihan raya dan janji PH untuk membawa perubahan dalam kerajaan (72%).

Isu lain yang memberi kepuasan hati dalam kalangan rakyat Malaysia adalah usaha PH membanteras rasuah (65%), melindungi hak bukan Melayu (62%) dan melindungi agama Islam (50%).

Merdeka Centre menyatakan isu berhubung kaum menarik perhatian dalam kalangan pengundi Melayu.

“Di masa akan datang, kerajaan PH akan berdepan dengan cabaran menguruskan jangkaan umum yang ketat, pembangkang yang membangkitkan isu bangsa dan agama serta mengurus politik.

“Data itu turut mencadangkan kerajaan baharu berdepan dengan pengundi Melayu yang lebih berhati-hati apabila dibandingkan sesama mereka.

“Melangkah ke hadapan, tinjauan itu menunjukkan bahawa untuk memenangi skeptik, kerajaan baru perlu menunjukkan dan menguatkan usaha menangani kos sara hidup dan memperkenalkan reformasi kerajaan yang substantif,” kata Merdeka Centre dalam ringkasan hasil kajiannya.

Kajian itu dikeluarkan menjelang 100 hari kerajaan Pakistan yang jatuh pada hari Jumaat. – 15 Ogos, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen