LEBIH daripada tiga perempat rakyat Malaysia memilih Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri paling terbaik prestasinya, menurut kajian dilakukan Merdeka Center.
Kajian yang dikeluarkan hari ini itu menyatakan Dr Wan Azizah adalah pilihan utama 75% responden, diikuti oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali (64%) dan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin (62%).
Daripada 1,160 pengundi yang terlibat dalam kajian itu, 60% berpuas hati dengan prestasi kerja Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan hanya 58% gembira dengan prestasi kerja Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.
Kajian itu juga melibatkan menteri Kabinet lain seperti Dr Dzulkefly Ahmad dan Dr Maszlee Malik serta Peguam Negara Tommy Thomas.
Daripada tujuh menteri dalam senarai, prestasi terburuk menurut responden adalah Maszlee (50%) dan Dzulkefly (53%).
Berdasarkan kumpulan kaum, prestasi Maszlee hanya meraih sokongan 41% bukan Melayu dan 54% orang Melayu.
Thomas pula menerima rating kepuasan rakyat sebanyak 49%.
Kajian menunjukkan perbezaan ketara antara pengundi Melayu dan bukan Melayu. Misalnya, hanya 44% pengundi Melayu berpuas hati dengan prestasi Lim dan 37% untuk Thomas.
Sebaliknya, seramai 84% pengundi bukan Melayu memilih Lim sebagai menteri dengan prestasi kerja terbaik.
Untuk kumpulan pengundi Melayu, tiga menteri pilihan mereka ialah Dr Wan Azizah (71%), Muhyiddin (70%) dan Azmin (68%).
Bagi pengundi bukan Melayu pula, tiga pemimpin pilihan mereka ialah Lim, Dr Wan Azizah (66%) dan Thomas (67%).
Kajian Merdeka Center dijalankan pada 7 hingga 14 Ogos lalu dengan 1,160 pengundi dari 222 kawasan Parlimen. – 15 Ogos, 2018.
Komen