Lebih 60% rakyat puas hati dengan Pakatan, kata kajian


Chan Kok Leong

Responden etnik India paling berpuashati dengan PH dengan kadar 89%, diikuti etnik Cina (79%), pengundi Bumiputera di Sabah dan Sarawak (62%) dan pengundi Melayu (58%). – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2018.

SEBANYAK 67% rakyat Malaysia berpuas hati dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang baru menjelang ulang tahunnya yang ke-100 hari pada Khamis, menurut tinjauan pendapat awam terbaru Merdeka Centre.

Responden etnik India paling berpuashati dengan PH dengan kadar 89%, diikuti etnik Cina (79%), pengundi Bumiputera di Sabah dan Sarawak (62%) dan pengundi Melayu (58%).

Lebih separuh (55%) daripada 1,160 pengundi yang diselidik juga percaya negara kini ke arah hala tuju yang betul, berbanding 38% pada April, sebulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

Enam daripada 10 rakyat Malaysia menyatakan rasa puas hati mereka dengan cara kerajaan PH mengendalikan ekonomi berbanding kerajaan Barisan Nasional, dengan 34% responden pada April.

Sebahagian lagi, 56% pengundi mengatakan mereka optimis terhadap masa depan ekonomi berbanding 31% pada April.

Tinjauan dijalankan antara 7 hingga 14 Ogos di seluruh 222 kawasan Parlimen.

Antara mereka yang berpuas hati dengan kerajaan PH, 19% merasakan tahap efisyen dan tadbir urus adalah baik manakala 12% mengatakan ekonomi menggalakkan. 

7% lagi yang menyatakan berpuas hati dengan usaha PH membanteras rasuah. 

Daripada mereka yang tidak berpuas hati dengan kerajaan, 29% mengatakan ia menuju ke arah yang salah dalam isu ekonomi. 

Mereka menyatakan keadaan ekonomi tidak menggalakkan (14%), kos sara hidup tinggi (7.8%) dan isu gaji (1.7%).

14% lagi mengatakan mereka gembira tidak gembira dengan isu kepimpinan yang meliputi kualiti kepimpinan, tidak memenuhi janji dan kurang kebajikan. – 15 Ogos, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen