MOTO yang biasa kita dengar mengenai taat setia penjawat awam, “Saya Yang Menurut Perintah” (SYMP), bakal digantikan dengan slogan yang menekankan maruah dan rasa tanggungjawab.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Putrajaya berhasrat untuk menggantikan SYMP dengan “Saya yang Menjalankan Tugas” ketika menandatangani surat rasmi.
Ditanya mengenai perkara itu semasa pertemuan dengan 3,400 pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) di Putrajaya hari ini, beliau berkata: “Ya, boleh dilakukan.”
Pemimpin berusia 93 tahun itu berkata beliau akan memperkenalkan semula slogan “Bersih, Cekap dan Amanah” yang popular semasa beliau menjadi perdana menteri keempat.
“Bersih - kita tidak boleh berjaya jika kita tidak ‘bersih’. Cekap - ia bermakna kita melakukan sesuatu berulang-ulang sehingga kita pandai. Amanah - ini penting kerana kita tidak sepatutnya mengambil apa yang bukan milik kita. Inilah sebab slogan diperkenalkan,” kata Dr Mahathir.
Beliau memberi amaran kepada pegawai PTD agar menjaga “nafsu”, atau “keinginan” mereka, dan bertindak mengikut akal ketika menjalankan urusan kerajaan.
“Akan selalu ada konflik. (Jika anda melakukan) perkara mengikut godaan anda, atau dengan emosi, ia hanya mendatangkan bencana.
“(Anda boleh) fikir ia memberi manfaat sekarang, tetapi ia tidak dalam jangka masa panjang.”
Beliau memberi contoh pegawai kerajaan dengan kuasa meluluskan kontrak bertindak melenggahkan tugas, menggunakan kedudukan dengan meminta sesuatu sebagai balasan bagi kelulusan diberikan.
“Jika kita mengikut ‘nafsu’, kita tangguhkan kelulusan.
“Mereka sengaja menangguhkannya untuk mendapatkan sesuatu daripadanya. Dalam kes ini, ‘nafsu’ menang, dan logik kalah.
“Ini akan membebankan negara. Kos akan meningkat apabila rasuah dilibatkan dalam urusan.” – 15 Ogos, 2018.
Komen