MENTERI dan pemimpin kerajaan sudah diberi amaran yang mereka akan dihukum jika didapati korup.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata demikian pada sesi townhall dengan 3,400 pegawai tadbir dan diplomatic (PTD) di Putrajaya hari ini, tambahnya lagi tidak ada belas kasihan atau timbang rasa akan diberikan kepada pegawai yang korup.
“Pemimpin kerajaan sudah diberi amaran oleh saya, jika mereka terlibat dalam korupsi (hukuman menanti). Saya mahu tembak mereka macam di China tetapi saya tak boleh (buat begitu),” katanya.
Negarawan berusia 93 tahun itu juga berkata yang selaku perdana menteri beliau sudah mengisytiharkan hartanya bagi menghalang korupsi.
“PM juga perlu beri contoh terbaik. PM tak boleh mencuri,” katanya disambut gelak ketawa hadirin.
Bekas perdana menteri Najib Razak kini berdepan tujuh pertuduhan mahkamah kerana salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram berkaitan skandal SRC International, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Tanpa menyebut nama sesiapa, Dr Mahathir berkata pemimpin yang korup sepatutnya mengikut jejak orang Jepun yang malu apabila ditangkap buat kesalahan dan bukannya bebas berjalan sambil tersenyum.
“Rasa malu orang Jepun sangat kuat. Adalah orang ini, bila kita kata dia curi duit, dia senyum.
“Cubalah jadi macam orang Jepun, Tak perlu buat harakiri tetapi sekurang-kuranya rasa malulah,” katanya merujuk kepada upacara membunuh diri orang Jepun menggunakan pedang pendek apabila dimalukan dan tidak lagi dihormati.
Dr Mahathir juga memerli kapal pesiar mewah Equanimity yang dibeli menggunakan wang hasil rompakan 1MDB.
Katanya, pemilik kapal itu langsung tidak berasa malu untuk membeli kapal menggunakan duit bukan milik mereka.
“Equanimity lebih 300 kaki, biliknya ada tandas dan pejabat. Ia dibeli guna duit rompakan tetapi mereka langsung tak menyesal,” katanya. – 15 Ogos, 2018.
Komen