KHAIRY Jamaluddin menafikan beliau tidak pernah membangkitkan isu hala tuju Biro Tatanegara (BTN) sewaktu menyandang jawatan Kabinet dalam pentadbiran Barisan Nasional.
Bekas menteri belia dan sukan itu sebaliknya berkata beliau pernah mengadakan perbincangan mengenai perkara tersebut tetapi ia diadakan secara tertutup.
“Berkenaan BTN, dari dulu kita ada perbincangan dalaman berkenaan dengan hala tuju BTN dan sebagainya.
“Tetapi pada waktu itu takkan saya nak cakap di khalayak umum… Ada saluran dalaman,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Khairy pada Isnin lalu mengakui program BTN yang diperkenalkan kerajaan terdahulu mempunyai unsur indoktrinasi politik.
Ahli Parlimen Rembau itu turut berkata program PLKN juga mempunyai unsur itu namun ia tidak begitu ketara.
Beliau berkata demikian susulan pengumuman kerajaan untuk memansuhkan dua program tersebut serta-merta kerana didapati disalahgunakan untuk tujuan indoktrinasi fahaman tertentu.
Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengumumkan perkara itu berkata, pemansuhan itu dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet minggu lalu. – 15 Ogos, 2018.
Komen