Kontraktor ECRL kena bayar pampasan pada pekerja diberhentikan, kata menteri


Chan Kok Leong

PUTRAJAYA hari ini berkata kontraktor China Communications Construction Company-ECRL perlu memberi pampasan kepada pekerja yang diberhentikan, kerana bukan kerajaan persekutuan yang mengambil mereka bekerja.

“Pekerja ini diambil oleh CCCC untuk projek Landasan Kereta api Pantai Timur (ECRL), jadi ia tugas mereka untuk mengendalikan urusan pampasan itu,” kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Dewan Rakyat hari ini.

“Bagaimanapun, kerajaan bersedia untuk membantu sebaik saja keputusan akhir dibuat.”

Lim (Bagan-PH) menjawab soalan tambahan daripada Dr Ismail Abdul Mutalib (Maran-BN) berkenaan nasib 2,000 pekerja tempatan yang diberhentikan oleh CCCC susulan keputusan kerajaan untuk menangguhkan projek ECRL.

CCCC memberhentikan pekerja di Julai selepas kerajaan mengumumkan ia akan menangguhkan projek itu sehingga semakan semula selesai.

Ismail juga bertanya bagaimana kerajaan merancang untuk memberi pampasan kepada pemilik tanah selepas projek itu ditangguhkan.

Lim berkata Putrajaya sanggup memberi pampasan kepada pemimpin tanah untuk kerja yang dijalankan di tanah mereka.

“Jika proses pengambilalihan tanah (di bawah Akta Pengambilan Tanah) masih belum lengkap, pampasan itu akan bergantung pada kerugian ditanggung.

“Jika pampasan sudah dibayar, tanah itu milik kerajaan,” kata Lim.

Terdahulu, Lim memberitahu Parlimen bahawa kos ECRL dianggarkan RM81 bilion selepas mengambil kira kos kewangan RM11 bilion.

Beliau berkata kerajaan terdahulu menyenaraikan kos pada RM55 bilion – iaitu RM46 bilion untuk Fasa 1 dari Selangor ke Wakaf Bahru dan RM9 bilion untuk Fasa 2 dari Gombak ke Pelabuhan Klang.

Tetapi ia tidak termasuk kos tambahan RM11.78 bilion (untuk kerja dari Wakaf Bharu ke Pengkalan Kubor) yang diluluskan oleh Kabinet Barisan Nasional pada 2017, menjadikan jumlahnya RM66.78 bilion, kata Lim.

Menambah kos kewangan RM11.09 bilion, kos keseluruhan ialah RM80.92 bilion, katanya.

Lim berkata rundingan dengan China masih berlangsung.

Katanya, kerajaan masih belum mencapai persetujuan dengan China tetapi perbincangan semakin lancar selepas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Daim Zainuddin berkunjung ke China bulan lalu.

“Kerajaan masih mahu mengurangkan kos itu. Kos operasi untuk projek itu sangat tinggi dan projek itu tidak dapat menampung kos operasi, yang dianggarkan antara RM600 juta dan RM1 bilion,” kata Lim. – 15 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen