PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad mengakui beliau kini mempunyai masalah untuk mempercayai penjawat awam selepas kali kedua memimpin negara ini.
Katanya, ketika bergelar kali pertama bergelar sebagai perdana menteri, beliau tidak berdepan sebarang kesukaran untuk mempercayai pegawai kerajaan.
Dr Mahathir berkata disebabkan banyak hasutan daripada sumber luar, beliau tidak meletakkan kepercayaan kepada penjawat awam.
“Kali terakhir sebagai perdana menteri saya tidak mempunyai masalah (untuk percaya). Kini apabila sekali lagi menjadi perdana menteri, kita tidak boleh mudah percaya ekoran hasutan dari luar,” kata Dr Mahathir.
Beliau berkata demikian pada satu majlis bersama 3,400 Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) hari ini.
Ini merupakan kenyataan terbaru yang dibuat oleh Dr Mahathir terhadap penjawat awam sejak kerajaan Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu.
Beliau sebelum ini menyuarakan kebimbangan terhadap segelintir kakitangan awam yang masih setia kepada Barisan Nasional (BN) yang memerintah Malaysia sejak merdeka, dan cuba mensabotaj kerajaan baharu.
Katanya penjawat awam perlu mengikut arahan kerajaan pada hari ini tetapi bukan sehingga ke tahap melakukan jenayah.
“Dalam sistem kita pada hari ini, polis, tentera dan pegawai PTD perlu berkhidmat untuk kerajaan baharu.
“Namun ini tidak bermaksud anda perlu patuh kepada arahan yang terlibat dalam jenayah.
“Jika saya, sebagai perdana menteri, memberi arahan untuk membunuh. Adakah anda akan patuh?
“Pegawai PTD perlu menurut arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan. Jika ada pegawai yang diarahkan sembunyi bukti jenayah dan mengikut arahan tersebut, itu salah,” katanya.
Pengerusi parti Bersatu itu turut menyelar tindakan penjawat awam yang berkempen untuk kerajaan terdahulu.
“Jika anda diarahkan keluar berkempen untuk sebuah parti politik, anda perlu menolaknya.
“Anda mungkin akan dihukum oleh pegawai atasan tetapi jika semua pegawai bersatu dan enggan menurut arahan tersebut, apa yang mampu mereka lakukan?
“Jika terdapat arahan untuk melakukan tugas di luar bidang, anda tidak perlu melakukannya, apatah lagi jika ia melibatkan perbuatan jenayah.
“Jika kerajaan hari ini mengarahkan anda untuk membuat perkara yang melanggar undang-undang, anda perlu menolaknya kerana ia merupakan satu kesalahan.” – 15 Ogos, 2018.
Komen