DAP sambut Hari Merdeka ke-61 dengan puisi Melayu


Looi Sue-Chern

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong bukan sahaja fasih berbahasa Malaysia tetapi juga berbakat dalam bidang penulisan. – Gambar The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2018.

KETIKA beliau pertama kali menjadi ahli Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-13, Steven Sim Chee Keong daripada DAP digambarkan sebagai seorang daripada wakil rakyat parti itu yang tidak mampu berbahasa Malaysia dengan baik.

Demikianlah propaganda terhadap DAP dan wakil rakyatnya seperti Sim, yang pada kenyataannya bukan setakat mampu berbahasa kebangsaan dengan fasih, tetapi juga boleh menulis puisi dalam Bahasa Malaysia. Beliau juga boleh memetik ayat al-Quran ketika berucap.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, yang kini menjadi timbalan menteri belia dan sukan, akan melancarkan buku pertamanya dalam Bahasa Malaysia berjudul “Dalam Salju Ada Bunga”.

Pelancarannya adalah bertepatan dengan perayaan ke-61 kemerdekaan negara yang bersejarah dengan menyaksikan perubahan kerajaan buat kali pertama.

Buku ini merupakan antologi puisi Melayu yang ditulis oleh Sim sejak beberapa tahun lalu. Ia diterbitkan oleh DAP dan akan dilancarkan di Parlimen esok oleh Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof dan Lim Kit Siang, pemimpin veteran DAP serta ahli Parlimen Iskandar Puteri.

Sim memberitahu The Malaysian Insight puisinya mempunyai tema politik, mencerminkan pengalaman peribadinya dalam politik sejak zaman universiti hingga hari ini.

“Ia mengungkapkan perasaan saya yang paling dalam terhadap negara ini, sama ada rasa cinta atau kekecewaan,” katanya.

Sim memilih 10 puisi untuk buku itu. Yang terbaru bertajuk “Lim Kit Siang”, terjemahan daripada karyanya yang berbahasa Inggeris, “A Ghost in Parliament” dan diilhamkan oleh insiden di Parlimen pada Mac lalu, sebelum PRU14.

Ia mengenai tindakan Lim digantung daripada persidangan Dewan Rakyat tetapi menafikan penggantungan itu dan bertegas muncul di Dewan.

Semasa prosiding, beliau menyampuk ucapan Noh Omar yang ketika itu menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan.

Bekas menteri itu dengan sarkastik berkata: “Saya mendengar suara tetapi tidak melihatnya. Jangan mengganggu Dewan.”

Ini menyebabkan Ahli Parlimen Sungai Besar Barisan Nasional Budiman Mohd Zohdi berkata berkata: “Ada suara hantu.”

“Ia mungkin hantu, kerana hantu tidak faham bahasa,” kata Noh.

Dua buku tulisan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong. – Gambar The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2018.

Dan insiden itulah yang menjadi inspirasi Sim untuk menghasilkan puisi.

Puisinya yang paling lama, Merdeka ditulis pada 2003, ketika masih mahasiswa tahun dua di Universiti Malaya.

Ia menceritakan maksud Merdeka baginya - bebas daripada penjajahan asing dan domestik, di mana rakyat - “bangsa Malaysia” - sedar, matang, mampu berfikir, mempertahankan diri, berjuang dan membangunkan negara.

Sim juga berharap buku itu akan menjadi satu cara meraikan Hari Merdeka ke-61 tahun ini di bawah kerajaan persekutuan baharu Pakatan Harapan.

“Ia mencerminkan mood semasa - rasa cinta yang kuat untuk negara ini.”

Beliau memetik kata-kata Che Guevara, revolusioner Marxist Argentina dan pemimpin gerila, yang pernah berkata “revolusioner sejati dipandu oleh perasaan cinta yang besar”.

“Revolusi tanpa cinta adalah gila,” kata Sim, mencerminkan bagaimana Malaysia akhirnya mengubah kerajaan selepas 60 tahun.

“Seseorang juga berkata, we campaign in poetry but govern in prose,” ujar beliau memetik kata-kata mendiang Mario Cuomo, bekas gabenor New York. – 15 Ogos, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen