KETUA Wanita PKR Zuraida Kamaruddin mahu mengangkat calon wanita untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia yang bakal berlangsung 8 September ini.
Beliau turut mengesahkan bahawa calon wanita yang diusulkannya merupakan antara lapan nama yang disenarai pendek untuk bertanding di kerusi itu.
“Sebagai ketua wanita sudah tentu saya mengharapkan calon wanita akan dapat diketengahkan di PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia ini.
“Saya memang letakkan nama calon wanita muda untuk berikan peluang kali ini dalam PRK,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen semalam.
Zuraida bagaimanapun enggan mendedahkan nama calon tersebut dan meminta pihak media menunggu pengumuman rasmi yang bakal dibuat bila-bila masa.
Sumber memberitahu The Malaysian Insight, antara nama yang termasuk dalam senarai tersebut adalah Ketua Srikandi Selangor Nurainie Haziqah Shafii yang juga ahli Majlis Perbandaran Petaling Jaya.
“Ainie adalah bakat muda yang perlu diangkat. Beliau juga seorang peguam dan ada pendidikan,” kata sumber yang enggan namanya didedahkan.

The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan nama Dr Fahmi Ngah sebagai calon pilihan utama PKR untuk bertanding kerusi Seri Setia.
Ketua pegawai eksekutif (CEO) Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor itu mendapat sokongan lapan ranting di cabang Seri Setia yang mencadangkan beliau sebagai calon.
Sumber yang maklum mengenai cadangan itu memberitahu Dr Fahmi dilihat sebagai calon berwibawa serta berpendidikan tinggi setanding bekas wakil rakyatnya, Dr Shahruddin.
Antara nama lain yang disebut-sebut dalam senarai ialah Halimey Abu Bakar bekas Ahli Majlis Petaling Jaya, dan bekas penyelaras DUN Kota Damansara Razdlan Jalal.
Difahamkan, senarai calon berpotensi itu turut dibincangkan dalam mesyuarat biro politik parti itu pada malam tadi.
Namun pemilihan calon itu difahamkan akan dibincangkan lebih lanjut kerana ramai anggota biro tersebut tidak menyertai mesyuarat, termasuk menteri besar dan para exco Selangor yang berada di Langkawi.
Pilihan raya itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Dr Shahruddin Baharuddin yang meninggal akibat barah usus pada 2 Ogos lalu. – 15 Ogos, 2018.
Komen