DALAM politik kita percaya realitinya sangat sukar untuk bercakap soal kemurnian. Era Malaysia baharu lebih digegarkan sebagai era mendemokrasikan demokrasi atau dianggap juga, bermulanya era keemasan untuk perjuangan kebebasan bersuara.
Malaysia baharu disinonimkan dengan era mengangkat persekitaran negara bangsa kita agar setanding Amerika Syarikat (AS) yang hebat dengan kelantangan idea mengenai demokrasi tulen serta tamadun manusia moden.
Apa yang nyata, kita kini melalui proses perubahan politik merangkumi pelbagai nilai kehidupan berorientasikan pembaharuan.
Namun, seorang warganegara seperti saya mengharap kita berubah lebih daripada itu. Kita tidak mahu hanya sehebat AS yang dikiblatkan jaguh-jaguh hak asasi apabila bercakap soal kebebasan manusia. AS dibangga-bangga sebagai simbol demokrasi tulen.
Saya melihat Malaysia baharu dalam konteks yang lebih murni asas negara bangsanya. Kehebatan negara bangsa kita, tidak perlu pun menjadi salinan AS. Sebaliknya, kita wajar menciptakan pembaharuan berdasarkan acuan impian kita sendiri.
Jadi apa impian kita sebenarnya?
Kita mahukan politik yang punya nilai murni. Kita mahu perubahan kerajaan pada 10 Mei lalu mampu menjadikan kita negara bangsa yang hebat dalam konteks pemurnian politik.
Cuma minggu ini setelah lebih 90 hari Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan, kita dikejutkan dengan krisis antara kem Rafizi Ramli dan Dr Mahathir Mohamad.
Kita tidak menyangka sama sekali, proses pemilihan PKR pada September hingga November ini, tiba-tiba bermula dengan kempen yang menyebabkan rakyat terpinga-pinga.
Apa sedang berlaku?
Kenapa pertandingan jawatan timbalan presiden PKR menjerumuskan kempen ketegangan politik antara kem Rafizi dan Dr Mahathir?
Apakah PKR sekarang sedang berkrisis dengan Dr Mahathir? Apakah nantinya krisis ini akan mengheret kecelaruan hubungan politik antara Bersatu dan PKR?
Kalau benar-benar bergeseran, apa akan jadi dengan kestabilan kerajaan PH?
Melemparkan tuduhan terbuka bahawa Dr Mahathir dan Daim Zainudin sedang berkonspirasi menghalang Presiden PKR Anwar Ibrahim menjadi PM tentulah sesuatu yang serius.
Rakyat berasa celaru kerana ketika meraikan kemenangan PH, pengundi yakin semua parti komponen PH sudah sepakat. Bahawa, proses membina kerajaan baharu akan terjamin kestabilannya.
Rakyat mengagumi PH kerana kombinasi PKR, DAP, Bersatu dan Amanah dengan 113 kerusi di Parlimen adalah gambaran, realiti politik matang sedang mendewasakan demokrasi di negara ini.
Namun, sebaik saja bermula serangan kem Rafizi terhadap Dr Mahathir, ia mula terasa sangat mengejutkan.
Proses 100 hari pemerintahan PH kini menuju puncak dengan bibit krisis yang mencabar. Krisis yang melemparkan persoalan: Apakah realiti sebenar politik kita hari ini?
Sebagai rakyat, kita merayu supaya penguasa politik tidak menyeret negara ini ke kancah ketidakstabilan.
Rakyat sudah letih berjuang untuk memastikan PH mengambil alih negara ini dan melakukan refomasi untuk menjadikan negara bangsa kita kembali hebat.
Krisis politik bukan sahaja isu dalaman parti-parti dalam PH, tetapi turut berimpak pada imej kestabilan kerajaan PH.
Apa lagi kalau pergeseran antara parti. Ia akan mempengaruhi ekonomi dan persepsi pelaburan asing di negara ini. Ada sebab untuk rakyat bimbang.
Apa yang berlaku di Melaka pada Ahad lalu ialah petanda wujudnya krisis. Serangan kem Rafizi dalam siri ceramah kempen pemilihan PKR mula menyalakan api. Kalau tidak dikawal, pasti akan berlaku kebakaran.
Percayalah, dalam 100 hari meraikan kejayaan pembentukan kerajaan PH, bukan api permusuhan di kalangan pemimpin yang rakyat harapkan.
Kita makin risau kerana tiap hujung minggu selepas ini, siri jelajah politik kem Rafizi akan berada ke negeri demi negeri. Kenyataan demi kenyataan politik akan terus dikeluarkan. Tiap kenyataan sudah pasti ada kesannya pada radius politik.
Kalau kempennya terus mengaitkan Dr Mahathir dan Anwar sedang berada dalam sengketa, tentulah kempen meraih undi jenis ini akan menggegarkan suasana.
Rakyat pasti bersedih. Ketegangan ini bukan apa yang dibayangkan ketika memuncaknya gelombang perubahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.
Kebangkitan 9 Mei ialah usaha berani rakyat untuk melangkah ke hadapan dan merobohkan kerajaan kleptokrasi dan korupsi tajaan rejim lama.
Penyingkiran Barisan Nasional ialah kerana rakyat muak dengan politik rasuah dan permainan kuasa yang melampaui semangat demokrasi. Rakyat memilih PH kerana dianggap dapat menyelamatkan negara ini daripada terjerumus dalam politik kleptokrasi dan bencana ekonomi.
Justeru, apakah adil, setelah semua penat-lelah kebangkitan 9 Mei lalu untuk membina pembaharuan, ia berakhir dengan ketegangan politik sesama komponen PH?
Aduhai pemimpin, lihatlah rakyatmu. Apa ertinya kuasa kalau akhirnya hanya mencetuskan kebimbangan dan ketegangan yang tidak dijangka! – 15 Ogos, 2018.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen