Bagaimana pertandingan ketua Pemuda PKR jadi tiga penjuru?


The Malaysian Insight

Tiga calon merebut jawatan ketua Pemuda PKR dalam pemilihan parti itu kali ini. Ia pertandingan antara Adun Seberang Jaya Dr Afif Bahardin, Ahli Parlimen Johor Baru Akmal Nasir dan Adun Kota Anggerik Najwan Halimi. – Grafik The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2018.

HANYA dua calon pada asalnya bertanding jawatan ketua Pemuda PKR iaitu Dr Afif Bahardin dan Akmal Nasir, masing-masing mewakili dua kem yang bersaing dalam pemilihan timbalan presiden antara Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli, kata beberapa sumber dalaman parti.

Kemunculan calon ketiga Najwan Halimi untuk jawatan ketua sayap itu lebih atas dasar peribadi kerana Adun Kota Anggerik itu merasakan dirinya lebih berpengalaman dalam politik, kata mereka.

Semuanya bermula apabila Najwan menolak tawaran menyertai pasukan Dr Afif untuk jadi seorang antara tiga calon naib ketua Pemuda PKR.

“Pertandingan ini lebih bersifat peribadi. Najwan sebelum ini ditawarkan Afif sebagai naib ketua barisan dia. Tapi dia tak puas hati sebab dia sasar untuk Timbalan sebab umur dia untuk pemilihan akan datang tak boleh masuk AMK.

“Jadi beliau mahu jadi Timbalan. Lagipun dia terlebih dahulu masuk dalam Keadilan berbanding Hilman,” kata sumber rapat dengan sayap Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Najwan, 32, akan melepasi had umur kelayakan jawatan dalam sayap itu pada pemilihan akan datang berbanding Hilman, Adun Gombak Setia yang baru berusia 29 tahun.

Dr Afif yang bergandingan dengan Hilman sebagai calon timbalannya menyokong Azmin untuk jadi timbalan presiden PKR, manakala Akmal merupakan calon ketua pemuda dari kem Rafizi Ramli.

Sementara itu, sumber yang rapat dengan Dr Afif berkata Adun Seberang Jaya itu ada alasan tersendiri tidak memilih Najwan sebagai regunya kerana melihat Hilman lebih berpengaruh dengan rangkaian di peringkat akar umbi di seluruh negara.

“Rangkaian di utara langsung tiada. Mungkin di Selangor ada pengaruh sedikit dan Melaka,” kata sumber, merujuk regu Najwan iaitu Naqiuddin Nazrin, timbalan ketua Pemuda Melaka.

Sumber itu juga menjelaskan Najwan belum dapat menyusun barisan exconya berbanding dua calon lain, terutama Dr Afif yang katanya “lebih tersusun”.

“Jaringan akar umbi Pemuda PKR dah lama dibuat dengan Hilman,” dedah sumber itu lagi.

Siapa untung tiga penjuru?

Sementara itu, sumber yang rapat dengan Akmal berkata pertembungan tiga penjuru tersebut memberi kelebihan pada ahli Parlimen Johor Bahru itu.

“Tidak mengapa mereka bertanding. Ia beri kelebihan (pada Akmal) sebab Najwan akan pecah undi kartel,” katanya, merujuk gelaran yang dilabelkan pada kumpulan Azmin.

“Akmal lebih berpengaruh di Selatan dan sedang bina rangkaian bersama team Rafizi, team reformasi. Mungkin undi di Selangor akan pecah dengan kemunculan dia (Najwan),” kata sumber itu lagi.

Bagaimanapun, Najwan yang dihubungi The Malaysian Insight menafikan dakwaan tersebut dan mengulangi niatnya bertanding adalah untuk menjadikan AMK lebih dekat dengan rakyat dan bukannya sebuah kumpulan elit yang berkelompok sesama sendiri.

“Tak masuk akallah, mana datang cerita macam itu. Saya masuk bertanding atas dasar apa yang saya cerita hari itu. Tiada kena mengena dengan senioriti semua,” katanya.

Dalam kenyataan media mengumumkan pencalonan mereka, Najwan dan Naqiuddin mengemukakan gagasan “AMK Malaysia” untuk mewakili sebuah sayap yang inklusif.

Mereka juga mahu membuang amalan politik kabilah dalam parti sebaliknya menjadikan sayap itu “lembayung besar setiap ahli AMK di seluruh negara”.

Najwan sebelum ini mengakui peluangnya tidak sebaik Dr Afif dan Akmal, namun beliau berjanji akan menjadikan sayap itu lebih dinamik dan tidak terikat dengan tokoh tertentu selain menjuarai isu rakyat. – 15 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen